AHLI pembangkang bersedia digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan kerana menentang Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua esok.
Ketua Whip, Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya akan tetap menentang RUU itu secara habis-habisan untuk menuntut supaya akta terbabit ditarik balik dan tidak dibahaskan.
“Semua 68 Ahli Parlimen PN sedia berdepan hukuman digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan kerana kita serius dalam menentang RUU itu.
“Kita akan terus menuntut supaya RUU URA ditarik balik dan tidak akan dibahaskan esok dan tidak diluluskan esok. Jika tidak, kita tahu apa akan berlaku, kami tidak kisah digantung (menghadiri sidang Dewan Rakyat),” katanya yang dilaporkan FMT.
Beliau berucap di hadapan lebih 100 penyokong yang hadir menyerahkan memorandum kepada wakil rakyat di hadapan pintu masuk Bangunan Parlimen, hari ini.
Penyokong terbabit terdiri daripada dua kumpulan iaitu PN dan NGO yang mesra dengan gabungan itu serta satu lagi kumpulan Persatuan Penduduk-penduduk Wilayah Persekutuan yang hadir membantah URA.
Kehadiran mereka itu disambut oleh Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang yang tampil menerima memorandum bantahan yang dikemukakan.
Sementara itu, Takiyuddin berkata beliau menyedari jumlah wakil rakyat pembangkang tidak cukup untuk menghalang akta itu daripada diluluskan namun yakin ramai di blok kerajaan turut menolaknya.
Katanya, beliau percaya desakan daripada rakyat juga akan membantu supaya RUU itu ditarik balik.
“Kalau hari ini rakyat boleh berada di sini sebelum URA dibahaskan, kita jamin esok lebih ramai akan beri sokongan menentang akta zalim ini,” katanya.
RUU URA dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada Khamis lalu.
Bacaan kedua dan ketiga dijadualkan esok dan Kor Ming sebelum ini berkata ia menandakan hala tuju baru dalam memastikan pembangunan bandar di Malaysia kekal mampan, maju, makmur dan inklusif.


