*Eisenberg pernah terlibat dengan NGO pintas bantuan ke Gaza
*Penyokong kuat dasar tentera Israel jajah Palestin
PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah melantik ahli perniagaan Israel-Amerika, Michael Eisenberg, sebagai wakilnya dalam mekanisme pemantauan antarabangsa yang diketuai Amerika Syarikat bagi mengawasi pelaksanaan perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Mekanisme itu beroperasi di bawah Pusat Penyelarasan Awam-Ketenteraan (CMCC) yang ditubuhkan oleh Komando Pusat Amerika Syarikat (US Central Command) di selatan Israel pada hari Jumaat, sebagai sebahagian daripada pelan gencatan senjata Gaza yang dicadangkan oleh Trump.
CMCC ditugaskan untuk menyelia pelaksanaan gencatan senjata serta menyelaras bantuan kemanusiaan, logistik dan keselamatan ke dalam Gaza.
Menurut Saluran 12 Israel, Eisenberg akan mewakili Pejabat Perdana Menteri bersama Mejar Jeneral Yaki Dolf, yang mewakili Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan institusi pertahanan Israel dalam forum yang sama.
Siapa Michael Eisenberg?
Eisenberg ialah pengurus firma modal teroka Aleph, yang mengendalikan dana bernilai £700 juta (RM3.9 bilion) dan melabur dalam syarikat baharu Israel yang sedang berkembang. Pada Oktober 2023, beliau memberitahu MailOnline bahawa dua orang anak lelakinya sedang berkhidmat dalam tentera Israel.
Beliau juga dilaporkan mempunyai kaitan dengan Gaza Humanitarian Foundation (GHF), sebuah badan yang disokong oleh AS dan Israel serta dikritik hebat kerana didakwa memintas saluran bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan melanggar prinsip kemanusiaan.
GHF, yang mula mengedarkan bantuan pada Mei, dikecam oleh PBB dan kumpulan hak asasi kerana menghadkan kawasan agihan bantuan dan meningkatkan risiko pemindahan paksa penduduk Gaza.
Tapak agihan bantuan yang dikendalikan oleh GHF digambarkan oleh penduduk Gaza dan pegawai PBB sebagai “perangkap maut besar-besaran”, dengan kejadian tembakan yang hampir berlaku setiap hari di kawasan agihan.
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB melaporkan bahawa lebih daripada 1,800 penduduk Palestin terbunuh ketika cuba mendapatkan makanan, termasuk sekurang-kurangnya 1,000 orang di sekitar tapak GHF.
Human Rights Watch menyatakan bahawa pembunuhan terhadap pencari bantuan ini merupakan jenayah perang.
Pandangan Eisenberg terhadap Gaza dan Penduduk Palestin
Eisenberg dikenali sebagai penyokong kuat dasar ketenteraan Israel. Beliau mengecam operasi perlawanan Palestin pada 7 Oktober, dengan menulis pada tahun 2024 bahawa “Hamas, Hezbollah dan Iran adalah kejahatan.”
Dalam satu catatan blognya di Times of Israel pada tahun 2018, beliau mencadangkan agar Israel dan Mesir “mengambil alih Jalur Gaza secara ketenteraan”, walaupun ia akan menyebabkan korban jiwa, dan menggesa supaya UNRWA, agensi bantuan PBB untuk pelarian Palestin, ditutup kerana menurutnya agensi itu mengekalkan naratif “hak untuk kembali” rakyat Palestin.
Dalam temu bual dengan MailOnline, Eisenberg turut merujuk kepada penduduk Palestin sebagai “haiwan dan penyembelih.”
UNDILAH |