AKPS patahkan cubaan bawa masuk hampir 50 tan daging babi sejuk beku dari negara dilarang

AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mematahkan cubaan membawa masuk hampir 50 tan daging babi sejuk beku dari negara yang dilarang menggunakan dua kontena di Pelabuhan Barat di Klang,  pada Selasa lepas.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pemeriksaan mendapati kontena mengandungi daging babi bernilai RM660,137 itu berasal dari Sepanyol yang merupakan antara 14 negara dilarang pengimportan bahan itu.

“Kontena itu dikesan lebih awal, iaitu pada peringkat dokumentasi sebelum pemeriksaan fizikal dijalankan oleh pasukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), selain permit import syarikat tempatan yang mengimport daging itu telah tamat tempoh,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Klang, lapor Bernama

Mohd Shuhaily berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan pengimportan daging itu bagi memenuhi pasaran tempatan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata rampasan itu merupakan kejayaan kedua dalam tempoh seminggu selepas hampir 27 tan daging babi dari Belgium bernilai RM495,740 disita pada 14 Jan, menjadikan jumlah rampasan dua kes tersebut lebih RM1 juta.

Walaupun Belgium antara negara yang dibenarkan, Mohd Shuhaily berkata rampasan dilakukan kerana dokumen pengimportan tidak lengkap.

Selain itu, beliau juga memaklumkan pihaknya giat mengesan lokasi kemasukan suckling pig atau anak babi ke Malaysia susulan kebimbangan terhadap pematuhan peraturan import serta risiko kesihatan awam.

“Saya dimaklumkan oleh pembekal daging babi bahawa negara kita tidak mengeluarkan produk suckling pig dan juga tiada kelulusan untuk mengimportnya masuk,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata siasatan dibuat susulan maklumat kemunculan produk itu di pasaran tempatan pada musim perayaan tersebut.

Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan suckling pig dan daging babi secara tidak sah kepada AKPS atau agensi berkaitan untuk siasatan lanjut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img