MARIUS Borg Hoiby, anak kepada Puteri Mahkota Norway, hadir di Mahkamah Daerah Oslo pada Selasa bagi menghadapi empat pertuduhan rogol, yang kesemuanya dinafikannya ketika prosiding dibuka.
Kes ini menarik perhatian ramai kerana sekali lagi menumpukan sorotan kepada keluarga diraja Norway.
Hoiby, 29, merupakan anak Puteri Mahkota Mette-Marit hasil hubungan sebelum perkahwinannya dengan Putera Mahkota Haakon.
Beliau tampil dengan penampilan kasual memakai seluar dan baju sejuk hijau serta kaca mata tebal dan hanya memberi jawapan ringkas semasa diminta menyatakan pengakuan.
Selain empat pertuduhan rogol, Hoiby berdepan 38 pertuduhan lain, termasuk keganasan terhadap bekas teman wanita dan kesalahan berkaitan dadah.
Sekiranya sabit kesalahan bagi pertuduhan paling serius, beliau boleh berdepan hukuman penjara sehingga 16 tahun. Namun, Hoiby dilaporkan mengaku bersalah terhadap beberapa pertuduhan kecil.
Beliau sebelum ini dibenarkan bebas sementara menunggu perbicaraan, tetapi ditahan semula pada Ahad lalu susulan dakwaan baharu melibatkan serangan, ugutan dengan pisau serta pelanggaran perintah sekatan.
Mahkamah memutuskan beliau direman selama empat minggu bagi tujuan siasatan lanjut.
Perbicaraan yang dijadual berlangsung sehingga 19 Mac, menarik liputan meluas media tempatan dan antarabangsa. Sejak prosiding bermula pagi ini, wartawan memenuhi mahkamah untuk mengikuti perkembangan kes.
Pada sesi pagi, pihak pendakwa membacakan keseluruhan pertuduhan terhadap Hoiby, manakala pada sesi petang, seorang mangsa dijangka memberi keterangan secara tertutup. Hoiby pula dijadual memberi keterangan buat pertama kali pada Rabu.
Kes ini juga menimbulkan perhatian tambahan terhadap ibunya, Puteri Mahkota Mette-Marit, selepas pendedahan dokumen mahkamah di Amerika Syarikat yang mengaitkan beliau dengan pesalah seks, Jeffrey Epstein, yang meninggal dunia di penjara pada 2019.



