KETEGASAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak membenarkan warga Israel berada di Malaysia dan melakukan pengusiran segera sekiranya ditemukan di negara ini, dibantah anggota Kongres Amerika Syarikat (AS).
Anggota Kongres berkenaan menyifatkan kenyataan Anwar sebagai “sama sekali tidak boleh diterima”.
Mereka mengatakan adalah salah bagi seorang ketua kerajaan mengisytiharkan secara terbuka bahawa negaranya akan mengusir rakyat dari warganegara tertentu.
Mereka menggesa Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menilai semula hubungan keselamatan dan ekonomi Washington dengan Malaysia, termasuk mempertimbangkan penggantungan pembiayaan latihan ketenteraan AS.
Dalam sepucuk surat bertarikh 21 Julai, anggota Demokrat Dewan Perwakilan AS yang diketuai wakil rakyat Ohio, Greg Landsman, berkata keengganan Malaysia mengiktiraf Israel sudah “cukup membimbangkan”.
“Adalah sama sekali tidak boleh diterima apabila seorang ketua kerajaan secara terbuka mengisytiharkan bahawa negaranya akan memburu dan mengusir rakyat sekutu rapat kami (Israel) semata-mata berdasarkan kewarganegaraan mereka,” kata mereka, lapor FMT.
Surat itu turut ditandatangani Josh Gottheimer dari New Jersey, Jimmy Panetta dari California, Dan Goldman dari New York, Debbie Wasserman Schultz dari Florida, Jared Moskowitz dari Florida, Brad Sherman dari California dan Jake Auchincloss dari Massachusetts.
Anggota Kongres terbabit merujuk bantuan keselamatan AS kepada Malaysia, termasuk program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) yang membiayai latihan profesional untuk anggota tentera Malaysia.
Mereka juga mendakwa anggota Hamas pernah menjalani latihan di Malaysia dengan memetik laporan sebuah institut penyelidikan Israel, selain menuduh Putrajaya “mengalu-alukan pengganas sambil menyasarkan orang Yahudi”.
“Berdasarkan bentuk pengaruh diplomatik ini, kami percaya AS perlu menjelaskan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaannya bahawa bantuan serta sokongan kami hadir bersama jangkaan supaya mereka tidak menyasarkan rakyat salah sebuah sekutu paling rapat kami,” kata mereka.






