HEBAT sungguh sikap hipokrit puak-puak pemisah apabila berlumba-lumba mengucapkan tahniah atas pelantikan Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal sebagai Fasilitator Malaysia bagi Proses Rundingan Damai Selatan Thailand.
Masing-masing mengharapkan pelantikan itu akan mendatangkan hasil kepada proses tersebut dan pada masa sama, mereka bukan sahaja mengharapkan Ahmad Norihan akan menjalankan tugas itu dengan penuh ketelusan malah mereka sendiri berjanji akan memberikan komitmen terhadap usaha berkenaan.
Hakikatnya, Ahmad Norihan bukan Fasilitator pertama sebaliknya bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan itu merupakan individu kelima dilantik memegang jawatan tersebut. Sebelum inipun puak pemisah begitu teruja mengucapkan tahniah tetapi kesudahannya, tiada apa-apa hasil.
Ucapan tahniah sekadar mainan bibir dan sandiwara kononnya sebagai pembawa suara masyarakat Islam Pattani, mereka mengharapkan seorang fasilitator yang telus dan berwibawa serta mampu mewujudkan keamanan di wilayah itu.
Tetapi apa yang berlaku selepas beberapa jam pelantikan Ahmad Norihan amat mendukacitakan apabila puak pemisah BRN secara kejam menyerang dan membunuh seorang anggota RELA yang dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Dalam serangan itu, anggota RELA tersebut sempat melepaskan tembakan untuk membunuh salah seorang penyerang. Anehnya, ketika dikebumikan pengganas berkenaan dianggap mati syahid oleh puak pemisah! Persoalannya, fatwa mana puak pemisah rujuk untuk membuat pengisytiharan itu?
Bagaimanakah dengan anggota RELA yang dibunuh ketika melangkah ke rumah Allah SWT untuk menunaikan solat Jumaat? Apakah dosa anggota RELA itu sehingga puak pemisah menganggap darahnya halal untuk dibunuh? Adakah bertugas sebagai anggota keselamatan yang membolehkan penduduk Islam hidup dengan aman dan beribadah dengan tenang adalah satu dosa sehingga Allahyarham layak dibunuh!
Pegangan songsang puak pemisah inilah yang menyebabkan penduduk Islam di wilayah itu semakin bosan, muak dan benci kepada keganasana demi keganasana yang berlaku. Apatah lagi yang turut menjadi sasaran bukan sahaja anggota keselamatan malah juga orang awam.
Kanak-kanak, wanita dan warga emas, semuanya tidak terlepas menjadi sasaran kekejaman puak pemisah. Tidak cukup dengan itu, mereka juga merosakkan kemudahan awam termasuk pencawang elektrik dan menyerang tempat-tempat yang menjadi lokasi penduduk Islam mencari rezeki seperti kilang-kilang. Apakah ini perjuangan untuk penduduk Islam?
Ketika puak pengganas melakukan tindakan menggugat kehidupan penduduk Islam melalui tindakan ganas mereka, pemimpin puak pemisah pula yang tinggal di luar Thailand hidup senang lenang.
Konflik yang berlaku bagaikan menjadi modal kepada mereka untuk meraihkan kehidupan amat selesa berbanding penduduk-penduduk Islam yang kononnya mereka bela. Contohnya, ada laporan media di Thailand mendakwa ada dalam kalangan pemimpin mereka berupaya membeli kebun atau ladang.
Selain itu ada pula pemimpin puak pemisah yang menggunakan kedudukannya bagi menyelesaikan masalah peribadi melibatkan ahli keluarganya.

Penulis hanya memberikan dua contoh sahaja untuk menggambarkan bagaimana ketika penduduk Islam menderita akibat perbuatan ganas puak pemisah, pemimpin puak itu lebih memperjuangkan kepentingan peribadi.
Oleh itu siapapun yang dilantik sebagai fasilitator, rundingan damai tidak akan ke mana selagi puak pemisah bersikap hipokrit. Di depan beria-ia mahu bekerjasama dengan fasililator tetapi di belakang terus mengganas.
Pada masa sama Pemerintah Thailand melalui angkatan tentera negara itu seharusnya lebih agresif lagi dalam tindakan untuk menjaga keselamatan Thailand. Sepatutnya apabila berlaku serangan ganas besar-besaran oleh puak pemisah, pasukan tentera Thailand perlu memburu kumpulan berkenaan habis-habisan.
Tetapi malangnya dalam kejadian baru-baru ini, walaupun berlaku berpuluh-puluh serangan dalam satu malam, tidak ada seorangpun puak pengganas ditangkap atau ditembak mati, sedangkan di wilayah itu terdapat 100,000 anggota keselamatan Thailand.
Apa yang dilakukan oleh puak pengganas di Selatan Thailand dalam serangan ganas seumpama itu seolah-olah negara berkenaan tidak ada undang-undang. Puak pengganas boleh masuk ke tengah-tengah pekan dan melepaskan tembakan sesuka hati.
Semua senario ini sewajarnya memberikan isyarat kepada Ahmad Norihan, tugas beliau bukanlah mudah. Bukan kerana beliau tidak ada kemampuan malahan beliau dianggap individu terbaik pernah dilantik ke jawatan berkenaan.
Norihan memiliki pengalaman lebih 33 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan mempunyai kepakaran dalam perisikan strategik, risikan pertahanan, analisis keselamatan selain pengurusan operasi di peringkat nasional serta antarabangsa.
Kalau melihat kepada latar belakang tersebut amat tepat Ahmad Norihan menjadi fasilitator tetapi adakah puak pemisah akan mengambil kesempatan terbaik ini untuk menyelesaikan konflik di Selatan Thailand?
Hakikatnya, Ahmad Norihan pasti tidak mengharapkan ucapan tahniah yang berbunga-bunga atau pujian yang melangit daripada puak pemisah, apa yang mahukan ialah keikhlasan mereka untuk menjayakan misi mencipta damai di wilayah berkenaan.
Tanpa keikhlasan daripada puak pemisah tukarlah 100 kali fasilitator pun proses rundingan tetap akan gagal!





