Anwar bincang isu hubungan dua hala, konflik Asia Barat bersama pemimpin utama tiga negara

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan melalui panggilan telefon dengan tiga pemimpin dunia bagai membincangkan isu hubungan dua hala dan konflik Asia Barat.

Menerusi Facebook  Perdana Menteri berkata, beliau berhubung dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subiato,Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon dan Perdana Menteri Sanae Takaichi bagi membincangkan pelbagai isu dua hala dan konflik Iran-Israel.

Anwar berkata, sewaktu panggilan telefon bersama Prabowo  semalam, mereka bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa, termasuk konflik Iran-Israel.

Katanya, mereka bersetuju untuk mengatur pertemuan dalam masa terdekat, termasuk cadangan beliau untuk berkunjung ke Jakarta sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat.

‘’Menyentuh isu serantau dan antarabangsa, kami bertukar pandangan mengenai konflik Iran–Israel serta kepentingan pendekatan diplomasi yang berterusan.

‘’Kami berdua bersama menggesa kepada keamanan dan saya memaklum Presiden Prabowo bahawa Malaysia akan terus menyokong dan memperkukuh usaha diplomasi dalam meredakan konflik Iran–Israel, supaya ketegangan dapat diredakan, nyawa orang awam dilindungi, serta ruang rundingan yang bermakna dapat dibuka ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan,’’ katanya.

Ketika perbualan telefon dengan Luxon, kata Anwar, mereka  bertukar pandangan mengenai perkembangan di Asia Barat serta kesannya terhadap keselamatan dan ekonomi global.

‘’Saya menegaskan pendirian Malaysia yang mengecam keras serangan ketenteraan terhadap Iran, serta menolak sebarang tindakan unilateral yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa. Malaysia kekal menggesa gencatan senjata segera, perlindungan orang awam, serta kembalinya semua pihak ke meja rundingan melalui saluran diplomasi,’’ katanya.

Beliau berkata, turut disentuh dalam perbualan itu ialah kesan konflik terhadap sektor tenaga New Zealand, termasuk peningkatan harga bahan api dan tekanan terhadap ekonomi domestik.

‘’Saya menyambut baik langkah proaktif kerajaan New Zealand dalam memperkukuh keselamatan tenaga serta mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu.

Dalam masa yang sama, kami menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik, termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kerjasama tenaga. Kami akan terus berhubung rapat dalam mendepani cabaran semasa demi kepentingan bersama,’’ katanya.

Sementara itu, Anwar dan  Sanae Takaichi, saling menghargai dan menilai perkembangan hubungan erat antara Malaysia dan Jepun yang telah terjalin sejak 1957 dan kini diperkukuh melalui Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP).

Kata Perdana Menteri, mereka  menyentuh kemajuan kerjasama dalam bidang keutamaan termasuk keamanan dan keselamatan, ekonomi, serta sains, teknologi dan inovasi.

‘’Saya juga berkongsi pendirian Malaysia berhubung situasi di Timur Tengah, yang menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata segera, perlindungan orang awam, serta penyelesaian konflik melalui dialog dan diplomasi selaras dengan undang-undang antarabangsa.

‘’ Kami bersetuju untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala serta memainkan peranan konstruktif dalam memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau dan global,’’  katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img