PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berhubung dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kematian Allahyarham Noorizwan Zulkefly yang dipercayai meninggal dunia ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Anwar berkata, beliau mengambil maklum kehadiran ahli keluarga Allahyarham yang menyerahkan surat rayuan kepadanya hari ini.
“Saya mengambil maklum kehadiran keluarga Allahyarham Noorizwan Zulkefly untuk menyerahkan surat rayuan kepada saya hari ini dan amat berdukacita atas pemergian Allahyarham serta memahami kesedihan dan keresahan keluarga yang menantikan jawapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, urusan menerima surat berkenaan diserahkan kepada pegawainya berikutan jadual menghadiri beberapa program di Melaka hari ini.
“Saya juga sudah berhubung dengan Ketua Polis Negara bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes ini,” katanya.
Dalam hantaran sama, Anwar menegaskan siasatan menyeluruh dan telus perlu dijalankan tanpa kompromi, selain mengarahkan supaya perkembangan siasatan dimaklumkan kepada keluarga Allahyarham.
Sementara itu, surat rayuan berkenaan diserahkan oleh adik Allahyarham, Nooranis Zulkefly, 34, di kediaman peribadi Perdana Menteri di Sungai Long, Kajang hari ini.
Nooranis hadir bersama peguam, Rajesh Nagarajan dan menyerahkan surat itu kepada wakil Pejabat Perdana Menteri (PMO), Khairil Hilmi Mokhtar di pekarangan pintu masuk kediaman berkenaan.
Dalam surat itu, Nooranis meluahkan kekecewaan terhadap layanan polis kepada abangnya, termasuk tindakan susulan terhadap individu yang didakwa bertanggungjawab menyebabkan kematian Allahyarham.
“Saya memahami bahawa setiap siasatan memerlukan bukti dan proses undang-undang yang sewajarnya. Namun keadaan ini menimbulkan persoalan yang amat besar dalam hati kami.
“Apakah bezanya seorang rakyat biasa dengan seorang anggota polis apabila berhadapan dengan undang-undang?” katanya dalam surat rayuan itu.
Nooranis turut mempersoalkan kenyataan rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyatakan tiada kecederaan organ dalaman pada Allahyarham.
Menurut keluarga, taklimat pakar forensik di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) memaklumkan bahawa kematian Allahyarham berpunca daripada trauma objek tumpul.





