
PERSOALAN ke mana hala tuju politik MIC kembali mendapat perhatian apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan parti komponen yang meninggalkan gabungan itu tidak akan diterima kembali.
Walaupun tidak menyatakan parti mana namun ramai memahami Presiden UMNO itu merujuk kepada MIC yang baru-baru ini memberi bayangan mahu meninggalkan gabungan tersebut.
Namun sama ada MIC membuat keputusan atau tidak, adakah kedudukan parti itu akan selesa dalam BN?
Ia memandangkan Ahmad Zahid ketika ditanya oleh wartawan di Semenyih selepas merasmikan Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF Malaysia) sama ada sama ada MIC ada menghantar sebarang resolusi untuk meninggalkan BN, beliau berkata;
“Saya tidak nampak apa-apa resolusi ataupun surat dan tentu kita tidak membuat sebarang keputusan tetapi kalau mereka tidak dapat membuat keputusan, kita akan membuat keputusan.”
Jawapan Ahmad Zahid tersebut menimbulkan persoalan adakah jika MIC tidak membuat keputusan keluar dari BN, gabungan tersebut akan menyingkirkan MIC?
DI TAPAH, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan menegaskan, parti itu masih lagi komponen BN kerana Majlis Tertinggi MIC belum memuktamadkan sebarang keputusan berhubung kerjasama dengan parti lain.
Katanya, ketika ini Majlis Tertinggi MIC belum bermesyuarat untuk menentukan hala tuju parti.
“Setakat ni MIC masih lagi bersama BN sehingga keputusan dibuat di peringkat Majlis Tertinggi. Kita masih parti komponen,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan komputer riba kepada seramai 50 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Pejabat MIC Bahagian Tapah di Tapah.
Ditanya mengenai kenyataan Ahmad Zahid bahawa parti komponen yang meninggalkan gabungan itu tidak diterima semula, Saravanan menyokong penuh perkara tersebut.
“Betullah apa (Ahmad Zahid) cakap itu. Mana-mana parti keluar daripada BN terus keluar tak akan kembali. Saya pun setuju dengan beliau,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tapah.
Bagaimanapun berdasarkan kenyataan Ahmad Zahid dan tindak tanduk MIC sebelum ini sudah pasti apapun keputusan yang dibuat oleh MIC, parti itu sudah tidak selesa lagi berada dalam BN.
MIC akan sentiasa dicurigai sebagai rakan tidak setia dan mungkin akan dilayan bagaikana ‘melukut di tepi gantang’, ‘adapun tak untung, tak adapun tak rugi’. Namun satu fakta yang tidak boleh dinafikan dalam BN khususnya UMNO masih ramai pemimpin mahukan MIC terus kekal bersama BN.
Apa yang MIC lakukan seharusnya dianggap meluahkan perasaan selepas dilihat dilayan secara tidak adil, ia bukan soal MIC ‘mabuk kuasa’ atau tidak.
Pada masa sama BN pula janganlah berasa sudah kuat sedangkan merekapun bergantung kepada Pakatan Harapan (PH) untuk berada dalam kerajaan. Tambahan pula dalam keadaan BN bukan lagi pilihan utama rakyat dan semakin merosot pencapaiannya dalam pilihan raya sepatutnya kepimpinan BN mencari jalan menyelesaikan kemelut yang berlaku.
Tidak boleh nampak terlalu angkuh atau begitu yakin sebab berada dalam kerajaan dan akan terus bekerjasama dengan PH pada PRU-16. Ia memandangkan situasi percaturan politik dan reaksi rakyat mungkin tidak seindah yang BN bayangkan.Percayalah.


