KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) memandang serius dakwaan tular di media sosial berhubung kemasukan individu tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral yang didakwa berlaku di dalam kem tentera.
Dalam satu kenyataan kementerian itu menegaskan, apa yang berlaku tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berteraskan disiplin tinggi, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.
Sehubungan itu, ATM telah diarahkan menjalankan siasatan dalaman segera dan menyeluruh bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan.
“Jika didapati benar, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara serta undang-undang semasa,” menurut kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi Kementerian Pertahanan dan ATM.
Kementerian Pertahanan dan ATM sentiasa komited dalam memastikan disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan berada pada tahap tertinggi serta tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara.


