Bahana menuju masa depan tanpa mempelajari, menghayati dan meneladani sejarah

SELEPAS 68 tahun Tanah Melayu merdeka dan 62 tahun Malaysia dibentuk, kita semakin rimas dengan pelbagai isu melibatkan kepentingan kaum seperti pendidikan dan ekonomi yang memperlihatkan garis pemisah  semakin melebar.

Isu yang hangat diperkatakan ialah isu tanah Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, masalah Petronas di Sabah dan Sarawak,  isu matrikulasi dan masalah elaun sara diri Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) melibatkan pelatih TVET.

Bagi saya, isu Kampung Sungai Baru adalah legasi penjajah British yang sangat sensitif kepada orang Melayu, justeru ia perlu diuruskan dengan berhati-hati.

Keadaan menjadi rumit apabila masalah berlaku dan proses pengambilan tanah dilaksanakan ketika kerajaan bertukar ganti dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. Apabila kontroversi berlaku, kerajaan yang terlibat cuba menuding jari kepada pihak lain demi ‘menyelamatkan tengkuk’ masing-masing, akhirnya  rakyat marhaen terpaksa berhempas pulas  mempertahankan hak mereka.

Keadaan itu menyebabkan sedikit sebanyak kebimbangan bahawa orang Melayu akan menjadi kelompok minoriti di bandar raya seperti Kuala Lumpur semakin menjadi kenyataan.

Apatah lagi identiti Melayu sebelum ini seperti Kampung Abdullah Hukum, Kampung Kerinchi dan banyak lagi telah menjadi kawasan hartanah ‘mampu tengok’  kepada orang Melayu berikutan harganya yang cukup mahal.

Dalam hal Petronas pula, konglomerat  minyak dan gas bertaraf dunia yang besar jasanya kepada negara sedang diusik ke tahap membimbangkan.

Bagaimanapun kenyataan Nik Ahmad Nazmi Nik Md Daud, bekas pegawai Perbendaharaan Negara (NST: 14 September 2025) yang menjelaskan  peranan Akta Pembangunan Petroleum 1974 untuk ‘mengharmonikan Malaysia, bukan menjajah’ perlu difahami semua pihak.

Polemik kemasukan ke program ijazah perakaunan di Universiti Malaya juga menarik perhatian sehingga Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) mencadangkan agar matrikulasi dihentikan. Bagaimanapun mereka menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf selepas  pelbagai pihak mengecam cadangan UMANY tersebut.

Satu lagi isu ialah berkaitan pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Ia tercetus apabila penyedia latihan dan pelajar mendakwa gagal mendapat pembiayaan apabila elaun sara diri dihentikan secara mengejut. Walaupun  PTPK menafikannya namun saya yakin kekeliruan berlaku sehingga mewujudkan suasana  panik kepada mereka yang terlibat  adalah akibat kelemahan dari segi komunikasi.

Bagi saya yang berpengalaman dalam TVET dan urusan PTPK sejak awal penubuhannya pada tahun 2005, PTPK memang tidak sunyi daripada pelbagai masalah birokrasi sejak sekian lama.

Penulis sentiasa berusaha merapatkan hubungan pihak kerajaan, penyedia latihan dan industri sebagai rakan strategik TVET khususnya PTPK.

Keaadaan itu bertentangan dengan usaha kerajaan mahu memperkasakan TVET seperti mana dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

PTPK ditubuhkan setelah krisis MLVK 2003 atas ‘linangan air mata 800 penyedia latihan swasta’ yang menjadi mangsa bersama ribuan pelajar mereka ketika itu.

Seperti yang pernah saya paparkan dalam ruangan ini, saya terlibat secara langsung menstrukturkan Tabung Pembangunan Kemahiran untuk diperbadankan kepada PTPK serta menaiktaraf Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) pada tahun 2004-2005.

 Ia termasuklah menyediakan draf Akta Pembangunan Kemahiran (NASDA) dan Akta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran untuk dibentangkan serentak kepada Menteri, Ketua Setiausaha dan pegawai kanan pelbagai agensi terutama Kementerian Kewangan. Saya dijemput atas kapasiti Pengerusi Penaja Persatuan Pusat-Pusat Bertauliah JPK Swasta Malaysia (kini FEMAC).

Sepanjang 25 tahun TPK dan PTPK bergerak, memang banyak cabaran dan krisis kerana kegagalan kita memahami matlamat asal penubuhannya, tidak mahu belajar punca masalah serta enggan mendengar nasihat daripada orang  berpengalaman.

Dakwaan yang mengatakan penyedia latihan mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan memberikan kualiti latihan yang rendah, gaji graduan yang rendah serta kutipan yang rendah tidak boleh dijadikan alasan.

Ia kerana syarat permohonan dana oleh penyedia latihan tertakluk kepada kriteria pentauliahan JPK serta penarafan bintang yang ditetapkan oleh agensi KESUMA  iaitu JPK dan PTPK.

Jika naratif ini digunakan untuk mempertahankan kelemahan KESUMA, ia ibarat ‘meludah ke langit terkena muka sendiri’. Ia memandangkan agensi di bawah KESUMA sendiri yang menyediakan kriteria kelayakan permohonan dana.

Berita penulis bersama GPMS memperjuangkan PTPK pada tahun 2013.

Pada pandangan saya, terdapat pelbagai faktor yang merosakkan pengurusan PTPK berulang kali. Ia termasuklah mengawal penglibatan banyak pihak seperti IPTA dan IPTS yang sepatutnya memanfaatkan PTPTN serta tidak mengendalikan TVET di bawah JPK.

Masalah bajet kelam kabut dan tidak cukup, sudah banyak kali berlaku tetapi gagal dihayati dan dijadikan pengajaran.

Bagi menerajui negara, kita memerlukan  kebijaksanaan dan kewibawaan ahli politik, malangnya  hari ini, orang politik yang dahulu berdegar-degar berucap di atas pentas , ternyata sekadar hebat dengan jenaka dan janji manis bagi meraih undi.

Tetapi apabila diberi kuasa oleh rakyat, mereka gagal mentadbir kerana sebahagiannya tidak pernah berada dalam kerajaan. Akibatnya pentadbiran negara masih tebal dibelenggu mentaliti pembangkang. Begitu juga sesetengah penjawat awam yang sentiasa mencari jalan selamat dan hanya memikirkan jawatan, pangkat dan status diri sahaja.

Tidak mengapa kalau tiada pengalaman, tetapi berguru dan rujuklah dengan mereka yang berpengalaman seperti kami. Buanglah sikap  ego, bodoh sombong kerana  sehingga ke hari ini masalah berulang disebabkan kita ‘gagal untuk mempelajari, memahami, menghayati dan mengambil iktibar daripada sejarah perjalanan negara sebelum ini.

Selamat Menyambut Hari Malaysia ke-62.

*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img