SUKAR dibayangkan apakah perasaan Noor Muhammad, 25 apabila kepulangannya ke Pakistan dari Malaysia yang bertujuan untuk membuat persiapan perkahwinan sebaliknya harus menyaksikan 24 ahli keluarganya terbujur kaku.
Kesemua termasuk ibunya, antara 200 orang yang dilaporkan maut akibat banjir besar di Buner yang terletak kira-kira tiga jam setengah dari Islamabad, kawasan paling teruk terjejas.
Mereka merupakan sebahagian daripada hampir 400 korban banjir di barat laut negara itu sejak 15 Ogos.
Dua hari sebelum majlis perkahwinannya, Noor Muhammad yang bekerja di Malaysia sempat berbual panjang dengan ibunya menerusi telefon, sebelum beberapa jam kemudian banjir besar meragut nyawa wanita itu bersama 23 ahli keluarga lain.
“Saya tidak dapat gambarkan betapa gembiranya dia (ibu) ketika itu,” katanya sambil berdiri di tepi runtuhan rumah keluarganya yang mempunyai 36 bilik itu.
Kediaman itu terletak di tebing saluran air banjir di kampung Qadir Nagar di daerah Buner.
“Banjir datang, banjir besar, ia sapu semuanya, rumah, ibu, adik-beradik, pakcik, datuk dan anak kecil,” katanya sebak.
Menurutnya, bapanya dan seorang lagi abang terselamat kerana keluar menjemputnya di lapangan terbang.
Turut menjadi korban ialah keluarga bapa saudaranya yang tinggal sebumbung dengan mereka dan beberapa saudara yang datang untuk menghadiri majlis perkahwinannya.
Tunangnya pula dikhabarkan terselamat kerana rumah keluarganya jauh dari kawasan paling teruk dilanda banjir.
Fenomena banjir kilat itu berpunca daripada hujan monsun paling buruk pada 2025 dan kejadian hujan lebat luar biasa atau ‘cloudburst’.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) memaklumkan, jumlah keseluruhan korban akibat hujan monsun sejak akhir Jun kini mencecah 776 orang dan lebih 25,000 orang diselamatkan di barat laut negara itu.


