SEORANG daripada tiga anggota polis bantuan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang dikesan membekalkan dadah kepada klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Serdang, Kedah, sudah dipecat daripada perkhidmatan pada Oktober tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dua lagi anggota polis bantuan di agensi berkenaan akan dipanggil ke Lembaga Tata Tertib esok untuk tindakan lanjut yang juga proses akhir siasatan.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kakitangan yang sudah ditamatkan perkhidmatan itu bukan sahaja membekalkan dadah kepada klien, malah dia sendiri turut positif dadah sebelum dipecat pada Oktober lalu.
“Kesalahan yang mereka lakukan adalah serius diibaratkan ‘harapkan pagar, pagar makan padi. Malah, tindakan terhadap ketiga-tiga kakitangan itu bukan dibuat secara tergesa-gesa susulan laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), sebaliknya siasatan dalaman AADK sudah dimulakan sejak November 2024.
“Kesalahan berkenaan mengambil masa dan melalui prosedur tertentu. Dua anggota polis bantuan berkenaan sudah dipindahkan ke AADK Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Bersahur Sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di PUSPEN Bachok malam tadi. Yang turut hadir, Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh.
Media sebelum ini melaporkan, EAIC mendedahkan berlaku pelanggaran arahan oleh pegawai ketika bertugas di PUSPEN Serdang sehingga membawa kepada 47 klien disyaki positif dadah jenis methamphetamine.
EAIC dalam kenyataan berkata, siasatan dijalankan selaras Subseksyen 27(4) Akta EAIC 2009 [Akta 700] susulan aduan diterima.
Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada pihak berkuasa tata tertib AADK dengan syor hukuman tata tertib mengikut Peraturan 38 Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tata Tertib) 1993 [PU(A) 395/1993].


