BEKAS Ketua Polis Daerah Temerloh, Mohd Azhar Mohd Yusoff, 56, dihukum penjara lapan bulan selepas didapati bersalah atas 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,600 di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini.
Hakim Sazlina Safie memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembelaan.
“Pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesemua elemen kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berhubung kesemua 46 pertuduhan,” katanya, lapor Buletin TV3.
Mohd Azhar sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan pada 7 September 2023, yang membabitkan penerimaan rasuah antara 2019 hingga 2023.
Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.





