DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan, sebanyak 40,000 pengguna KTM Komuter bakal menerima manfaat dengan pengenalan insentif MYKOMUTER50 bermula tahun depan.
Perdana Menteri berkata, melalui kemudahan itu, wang pengguna dapat dijimatkan hingga RM160 sebulan, manakala pas percuma turut akan diberikan kepada 360,000 murid sekolah, komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dan kanak-kanak bawah enam tahun, manakala kemudahan My50 akan diteruskan bagi pengguna bas dan rel Prasarana di Lembah Klang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebagai penyelesaian jangka panjang bagi masalah kejadian tren rosak atau perkhidmatan tergendala, Prasarana akan melabur lebih RM3.4 bilion untuk pemulihan menyeluruh perkhidmatan rel milik syarikat berkenaan.
“Kerajaan juga akan memperoleh 42 set tren baharu bagi perkhidmatan ETS dan KTM Komuter,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini..
Dalam pada itu, Anwar berkata, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Fasa 1 dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka mula beroperasi pada Disember ini serta Malaysia dan China telah bersepakat untuk menyambung laluan sehingga Rantau Panjang.
“Sebuah stesen bas akan dibina di Stesen ECRL Kota Bharu bagi kegunaan rakyat Kelantan, RM270 juta akan diperuntukkan bagi meningkatkan perkhidmatan bas henti-henti di bandar-bandar utama termasuk menghubungkan 15 stesen di Pantai Timur menjelang pengoperasian ECRL,” kata beliau.
Selain itu, Anwar berkata, kerajaan dan Malaysia Airports Holdings Bhd akan menyediakan RM1.1 bilion untuk menambah baik jalan di kawasan pelabuhan, lapangan terbang di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan di Sabah, Miri di Sarawak dan Pulau Pinang serta STOLport Long Banga dan Ba’Kelalan di Sarawak.





