GOLONGAN belia mahu politik negara berteraskan perpaduan, kematangan dan idea pembangunan, bukannya sentimen kebencian yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
Mereka berpandangan, pemimpin politik perlu mengutamakan penyelesaian isu rakyat serta menghormati perbezaan pandangan bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan budaya terus terpelihara.
Ini suara belia :

Nur Alif Hazmi berkata, rakyat perlu bijak menilai percaturan politik dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif kebencian yang digunakan oleh sesetengah ahli politik.
“Jika rakyat bijak memahami percaturan mereka, pastinya rakyat tidak akan terlalu terikut-ikut dengan politik kebencian tersebut,” katanya.
Sementara itu, Hanafi Zulkefli berkata, negara memerlukan parti politik yang membawa visi pembangunan dan bukannya menyemarakkan kebencian kerana kemajuan memerlukan penglibatan semua lapisan masyarakat.

Katanya, perbezaan ideologi politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk meretakkan hubungan sosial, terutama dalam negara berbilang kaum dan budaya seperti Malaysia.
Siti Nur Arina Mohd Noor pula berkata, politik kebencian boleh merosakkan kepercayaan masyarakat dalam jangka panjang apabila emosi marah dan takut digunakan untuk meraih sokongan.

“Golongan muda khususnya Generasi Z turut berdepan risiko terpengaruh dengan kandungan berunsur kebencian di media sosial yang boleh menghakis rasa hormat terhadap individu yang mempunyai pandangan berbeza.
“Kita boleh berbeza pendapat tanpa perlu membenci. Periksa dahulu fakta sebelum berkongsi dan jangan menjadi penyebar kebencian percuma,” katanya.
Beliau berharap pemimpin politik lebih menumpukan penyelesaian kepada isu seperti kos sara hidup, ekonomi dan peluang pekerjaan untuk golongan muda berbanding saling menyalahkan.
Dalam pada itu, Afiera Zulaiera Khairulazmi berkata, pemimpin politik perlu menunjukkan kematangan dengan mengemukakan idea dan kritikan yang berasaskan usaha memajukan negara, bukannya menjatuhkan pihak lawan melalui naratif negatif.

Menurutnya, perbezaan pandangan dan kritikan dalam politik tetap penting, namun perkara itu perlu dilakukan secara sihat tanpa mengeksploitasi isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) untuk kepentingan politik.
“Jika politik berasaskan kebencian berterusan, golongan muda akan semakin hilang minat terhadap politik kerana menganggapnya sebagai ‘taman permainan’ antara pemimpin untuk membuktikan siapa lebih hebat dan saling menjatuhkan satu sama lain.
“Apabila semakin kurang golongan muda melibatkan diri dalam politik, kepimpinan negara juga boleh terjejas kerana kekurangan idea baharu dan pendekatan yang lebih segar.”
“Masih ada banyak cara untuk bersaing secara sihat tanpa perlu memburukkan atau menyebarkan kebencian. Bersaing dengan sihat lebih mencerminkan masyarakat dan politik matang,” katanya.





