
KALAU ada mana-mana pihak masih mengharapkan Bersatu akan menjadi antara parti yang perlu diberi perhatian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor dalam masa terdekat atau Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) lupakan sahaja.
Bersatu kini menjadi parti paling porak peranda dalam arena politik tanah air. Pertembungan antara penyokong Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin sudah tidak terbendung lagi.
Tiada seorangpun dalam Bersatu yang setakat ini mampu menjadi pendamai, sebaliknya masing-masing ‘menyerang’ sesama sendiri. Keadaan itu pasti akan berterusan selagi misi menyingkirkan Hamzah tidak tercapai.
Ketika taktik yang pernah digunakan oleh UMNO suatu ketika dahulu yang menyaksikan seorang demi seorang ketua bahagian mengeluarkan kenyataan meminta seseorang pemimpin itu dipecat kembali digunakan dalam Bersatu…maklumlah ‘datang dari perut yang sama’.
Dalam Bersatu sekarang, seorang demi seorang ketua bahagian membuat kenyataan minta Hamzah dipecat. Strateginya ialah mahu menggambarkan seolah-olah Muhyiddin mendapat sokongan padu dalam parti manakala Hamzah tiada sokongan dalam parti.
Tetapi taktik lapuk itu tidak akan ke mana, sebaliknya memaparkan betapa tidak berdayanya Muhyiddin mengawal situasi dalam Bersatu. Mungkin desakan-desakan itu dianggap suara demokrasi dalam Bersatu tetapi kenapakah bila ada yang mengkritik Presiden tidak dianggap demokrasi?
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila ada barisan kepimpinan pusat bukannya bertindak meredakan keadaan, sebaliknya turut menjadi ‘batu api’. Bila ada pemimpin Bersatu desak Muhyiddin letak jawatan terus sahaja pemimpin berkenaan akan ‘diserang’ habis-habisan.
Penulis tidak tahu di manakah maruah politik barisan kepimpinan Bersatu berikutan kekecohan dan kekalutan yang berlaku dalam parti itu sekarang. Itu belum lagi mengambil kira bagaimana yang tiada apa-apa jawatan dalam parti turut ‘tumpang semangkuk’ mahu dikenang sebagai ‘pembela Presiden’ dengan menyerang Hamzah.
Adalah sesuatu yang malang ketika parti-parti lain sedang mengukuhkan kesepakatan dalaman bagi menghadapi PRN dan PRU , Bersatu pula berbalah sesama sendiri. Serang menyerang sehingga berlanjutan kepada pemimpin dipecat atau digantung.
Tidak malukah pemimpin Bersatu mahu bercakap soal perpaduan dan penyatuan kalau dalam parti sendiripun berantakan macamlah Bersatu kini parti pemerintah utama negara.
Bersatu kini bukanlah lagi parti alternatif orang Melayu. Tidak perlu membuat kaji selidik untuk menunjukkan pemimpin manakah dalam parti itu paling mendapat sokongan ia hanya memalukan sahaja. Tidak perlu bermimpi sangat, kalau dalam parti sendiri ibaratnya ‘becaknya lebih teruk daripada suasana dalam reban ayam’.
Apapun sama-sama kita nanti apa kesudahan ‘pertarungan WWE’ dalam Bersatu yang episodnya ‘dtayangkan setiap hari’ dan ada kalanya memualkan. Sepatutnya sebagai parti pembangkang mainlah peranan sebagai pembangkang untuk menjadi ‘check and balance kepada kerajaan….ini tidak …tak habis-habis dok ‘check dan balun’ sesama sendiri…macam ni nak menang pilihan raya…mimpi saja la!


