Bersatu sudah lemah kini bertambah longlai…

‘’LANTAKLAH  kalau nak kena pecatpun…kami dah bersedia’’ – Itulah ketegasan yang ditunjukkan oleh salah seorang daripada 19 ahli Parlimen Bersatu yang menghadiri perhimpunan bersama Datuk Seri Hamzah Zainuddin semalam di Kuala Lumpur.

Ternyata kesemua ahli Parlimen Bersatu kini bersedia berhadapan dengan apa juga risiko selepas menyatakan sokongan terbuka kepada bekas Timbalan Presiden Bersatu itu. Hamzah merupakan antara 17 pemimpin Bersatu yang dipecat ‘secara borong’ pada Jumaat lalu oleh Lembaga Disiplin parti tersebut.

Ketika ini difahamkan Hamzah mendapat sokongan 18 ahli Parlimen termasuk 13 ahli Parlimen yang belum dipecat oleh Bersatu. Bagaimanapun mereka dijangka berada ‘sekapal’ dengan Hamzah tidak lama lagi. Selain itu sebahagian ADUN Bersatu juga dikatakan menyokong Hamzah selain 118 daripada 168 ketua bahagian.

Apa yang dikatakan ini bukannya rekaan tetapi inilah senario dalam Bersatu sekarang berikutan ‘operasi pembersihan’ bagi kelompok menyebelahi Hamzah. Keadaan itu juga membuktikan bahawa tahap sokongan terhadap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada di dalam parti mahupun dalam Dewan Rakyat semakin melemah.

Walaupun Muhyiddin dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Jumaat lalu menyatakan pemecatan tidak dilakukan sewenang-wenangnya namun hujah itu bagaikan menitis air di daun keladi – ia kerja sia-sia.

Tindakan pemecatan ‘secara borong’  itu bukannya akan memperkukuhkan Bersatu seperti mana diuar-uarkan oleh kem Muhyiddin sebaliknya hanya akan memburukkan lagi keadaan. Ia memandangkan penolakan terhadap bekas Perdana Menteri itu bukan sekadar berlegar dalam kalangan ahli Parlimen sahaja tetapi juga ketua bahagian dan ADUN.

Lebih buruk lagi beberapa pemimpin yang dianggap ternama dan masih berpengaruh seperti Tan Sri Noh Omar dan Tan Sri Rais Yatim turut meletakkan jawatan dalam Bersatu selepas menyatakan bantahah  terhadap pemecatan beramai-ramai pemimpin Bersatu dilakukan oleh Lembaga Disiplin Bersatu.

Persoalannya adakah Bersatu boleh bangkit dan dipulihkan semula? Hakikatnya bukan soal boleh bangkit atau pulih tetapi soal terhakisnya  keyakinan dan sokongan kepada Muhyiddin bukan kepada Bersatu!

 Sebab itulah ahli Parlimen, ADUN dan ketua bahagian sanggup menanggung apa sahaja risiko apabila mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan.

Penulis percaya ‘operasi pemecatan’ oleh Bersatu tidak akan memberi kekuatan kepada parti tersebut sebaliknya akan melemahkan lagi Bersatu yang sememangnya sudah semakin longlai.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img