Bertindak solo tidak lagi relevan

Oleh: Shahbudin Embun

Isu tentang politik sememangnya tidak pernah padam. Setiap hari ada sahaja kisah dan isu yang terus diperdebat dan dibincangkan, tidak kiralah sama ada di warung kampung, mahupun di alam maya.

Antara yang dibahas ialah tentang kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya kecil (PRK) Sabah baru-baru ini. Apakah impak daripada kemenangan tersebut. Dan nampaknya masih ada lagi suara yang mahukan UMNO terus bertanding secara solo, walaupun pada hakikatnya ini merupakan sesuatu yang agak sukar dilakukan jika berpandukan pada lanskap politik hari ini.

Sebenarnya, itu merupakan langkah berisiko tinggi dan boleh menjadi boomerang, dan terkena pada batang hidung sendiri.

Jika kita imbas kembali, landskap politik Malaysia pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memperlihatkan perubahan ketara dalam pola pembentukan kerajaan, khususnya melalui kemunculan kerajaan perpaduan.

Dinamika politik kontemporari di Malaysia dicirikan oleh perubahan struktur kuasa yang ketara, khususnya selepas tiada lagi dominasi satu parti secara mutlak. Fenomena ini menandakan realiti baharu politik Malaysia, iaitu ketiadaan “rakan politik kekal” atau “musuh politik kekal”, sebaliknya kerjasama pragmatik demi pembentukan kerajaan yang stabil.

Dan inilah yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Madani. Politik hari ini adalah stablil dan rakyat pastinya tidak mahu lagi melihat kekecohan yang pernah berlaku tidak lama dahulu.

Apa kata kita rujuk Sabah sebagai model politik koalisi. Sabah sering dijadikan contoh paling jelas terhadap amalan politik koalisi di Malaysia.

Dalam konteks ini, parti-parti politik yang bertanding secara kompetitif dalam pilihan raya sanggup bekerjasama pasca pilihan raya demi membentuk kerajaan. Kesedaran bahawa tiada satu parti mampu memperoleh majoriti mudah mendorong kepada pembentukan kerajaan perpaduan sebagai solusi politik yang rasional dan inklusif. Inilah hakikatnya.

Bagaimana dengan kedudukan UMNO? Kita semua tahu, satu ketika dahulu UMNO/BN begitu dominan sekali, bahkan pernah merasai zaman “unbeatable”. Namun sejarah juga mengajar kita, tidak ada yang kekal berkuasa. Zaman dominasi sudah berakhir.

UMNO/BN, yang secara tradisional berakar di kawasan majoriti Melayu, kini berhadapan persaingan sengit khasnya daripada Pas dan Bersatu. Strategi solo tidak lagi menjamin kemenangan.

Kerjasama strategik dengan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, Amanah, dan DAP bukanlah kelemahan. Sebaliknya, gabungan ini merupakan kunci untuk terus kekal relevan dan berpengaruh dalam politik Malaysia yang kompetitif hari ini.

Dalam konteks ini, strategi politik bersifat solo terbukti tidak lagi berkesan, sebagaimana yang ditunjukkan dalam keputusan Pilihan Raya Negeri Selangor pasca PRU14. Keputusan tersebut memperlihatkan keperluan mendesak bagi UMNO/BN untuk membentuk kerjasama strategik bersama PH, termasuk PKR, Amanah dan DAP, bagi mengekalkan daya saing politik dan kestabilan pemerintahan.

Dalam membincankan isu ini, kita perlu juga melihat pada prestasi Kerajaan Madani.
Selepas tiga tahun memerintah, Kerajaan Perpaduan MADANI menunjukkan prestasi yang positif berbanding beberapa era pentadbiran terdahulu, khususnya dari sudut kestabilan politik dan pemulihan ekonomi.

Kerajaan ini telah memperkenalkan pelbagai inisiatif tadbir urus yang menekankan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan dalam perkhidmatan awam.

Usaha berterusan dalam memerangi rasuah dan membanteras pengaruh kartel telah berjaya memulihkan imej negara di peringkat antarabangsa. Antara pencapaian signifikan ialah kejayaan mendapatkan semula sejumlah besar dana haram, dianggarkan bernilai RM15.5 bilion, dengan potensi pemulihan tambahan pada masa hadapan.

Dari perspektif ekonomi makro, Malaysia kini berada pada landasan yang lebih stabil. Pengukuhan nilai ringgit serta peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) mencerminkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju dasar ekonomi dan kestabilan politik negara. Petunjuk-petunjuk ini menunjukkan bahawa Malaysia sedang berada di landasan yang betul untuk mencapai pertumbuhan mampan.

Kerajaan Perpaduan MADANI telah membuktikan bahawa kestabilan politik dan pemulihan ekonomi boleh dicapai melalui konsensus. Nilai ringgit mengukuh, pelaburan asing meningkat dan imej negara dipulihkan. Semua ini menunjukkan bahawa politik pintar adalah politik yang bekerjasama, bukan bertindak bersendirian.

Itu sebabnya kesinambungan politik an kepimpinan adalah penting dan mesti diteruskan.
Bagi memastikan kesinambungan reformasi institusi, kestabilan politik dan pembangunan ekonomi jangka panjang, kerjasama ini perlu diteruskan untuk tempoh yang lebih panjang.

Dalam konteks ini, kesinambungan kepimpinan Perdana Menteri semasa dianggap penting bagi menjamin kelangsungan agenda pembaharuan dan memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat serantau dan global.

Kesimpulannya, UMNO perlu faham realiti bahawa masa depan parti ini bergantung kepada kemampuannya menyesuaikan diri dengan era politik baharu. Bertindak solo sudah tidak relevan. Politik hari ini bukan tentang siapa terkuat sendirian, tetapi siapa bijak membina jaringan perpaduan demi rakyat dan negara.

  • Penulis adalah penganalisis politik

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img