
LAZIMNYA kolum saya disiarkan setiap hari Ahad, bagaimanapun kali ini saya menangguhkannya beberapa hari kerana mahu memberi tumpuan kepada isu panas berkaitan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang diluncurkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Januari lalu.
Saya berhasrat mengulas berkaitan RPM pada hari pertama ia diluncurkan kerana merasakan akan wujud polemik memandangkan terdapat pelbagai faktor yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum RPM dilaksanakan.
Sebagai seorang graduan pendidikan dan pernah mengajar di sekolah hingga pengajian tinggi serta terlibat dalam beberapa perancangan pendidikan baru sejak tempoh 30 tahun lalu, inilah kali pertama RPM mewujudkan keresahan bercampur senyuman.
Beberapa sahabat saya yang berpengalaman mengajar di sekolah dan menerajui pengurusan di peringkat tertinggi KPM suatu masa dulu telah memberikan penilaian terhadap RPM dan membuat ramalan apa yang akan terjadi.
Daripada awal lagi mereka merasakan akan berlaku kalut-malut, kenyataan yang bercanggah dan paling ekstrem lagi ialah akan berlakunya ‘pusingan U’.
Kami yang biasanya akan berbincang secara serius bab pendidikan negara, hanya ketawa apabila apa yang diramalkan terbukti berlaku dalam tempoh seminggu sahaja.
Namun di sebalik rasa lucu itu, wujud juga keresahan mengenai masa depan RPM dan pendidikan negara yang dari awal telah mempamerkan ketempangan yang ketara.
Rakyat yang resah terus mengecam sehingga Perdana Menteri sendiri terpaksa mengumumkan di Parlimen bahawa ujian diagnostik untuk kelayakan memasuki tahun 1 bagi kanak-kanak berusia 6 tahun dibatalkan.
Adalah terlalu panjang untuk mengulas apa yang berlaku tetapi cukuplah jika saya memaparkan pengalaman saya memberikan sumbangan kepada kerajaan khususnya KPM sebelum Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dilancarkan.
Antara transformasi PPPM ialah meningkatkan kapasiti pendidikan vokasional di sekolah harian yang hari ini dikenali sebagai Pendidikan Vokasional Menengah Atas (PVMA) bermula pada 2015 dan bertahan hingga kini dengan jumlah 300 buah sekolah harian melaksanakannya.
Ketika kami menjalankan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di Institut Skill-Tech, Melaka sekitar tahun 2009, saya telah mengadakan pelbagai bentuk program yang menjurus kepada kesedaran dan minat vokasional pertanian kepada sekolah harian di seluruh negara.

Akhirnya saya melihat potensi SKM dijalankan di sekolah harian. Saya berbincang dan memohon kebenaran daripada Ketua Pengarah KPM ketika itu, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Pengarah Bahagian Teknik dan Vokasional (BPTV) , KPM, Datuk Ahmad Tajudin Jab untuk menjalankan projek rintis (pilot project) di beberapa buah sekolah yang berbeza latar belakang seperti SMK Rahmat, Kuala Sungai Baru (luar bandar), SMK Seri Kukup, Pontian, Johor (Pendidikan khas) dan sebuah sekolah di Sabah (bandar).
Program rintis ini pada mulanya dinamakan SKM@Sekolah Harian yang antaranya bertujuan untuk melihat keupayaan sekolah menengah menjalankan SKM, minat dan kecenderungan pelajar terutama dalam pertanian serta potensi untuk dikembangkan pelaksanaannya di peringkat sekolah dan institusi latihan kemahiran swasta.
Selain kos projek rintis ditanggung sepenuhnya oleh pihak kami (tanpa sebarang dana KPM), kami turut menyediakan tenaga pengajar bertauliah dan kemudahan peralatan kepada pihak sekolah mengikut standard Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Setelah dilaksanakan selama dua tahun (2010-2011), program tersebut telah berjaya dijalankan sepenuhnya dan buat pertama kalinya, SMK Rahmat mencatat sejarah melaksanakan SKM di sekolah harian. Majlis graduasi disempurnakan oleh Alimuddin sebagai penghormatan, walaupun beliau baru bersara ketika itu.
Kejayaan itu membolehkan kami terus bertukar pandangan dan pengalaman dengan BPTV, sehinggalah KPM mengambil kira pengalaman itu untuk melaksanakan PVMA di sekolah menengah mulai tahun 2015 dan terus bertahan hingga kini.
Manakala ILKS pula melaksanakan program SKM + SPM yang hampir sama dengan PVMA.
Antara kami dan KPM tiada apa-apa konflik sebaliknya kerjasama itu sedikit sebanyak menjadi input dan dapatan kepada KPM merancang pelaksanaan PVMA.
Walaupun program rintis dijalankan, tidak dinafikan terdapat kekangan awal di peringkat sekolah harian KPM bila PVMA dimulakan di sekolah itu. Ia disebabkan kegagalan koordinasi dan persefahaman dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) ketika itu. Bagaimanapun masalah tersebut berjaya diselesaikan.
Cabaran awal pelaksanaan PVMA adalah perkara biasa tetapi kekalutan RPM hingga berlaku ‘pusingan U’ tidak berlaku kepada PVMA dan PPPM 2015 kerana sebelum dilaksanakan, projek rintis, pengalaman, pengamatan, persediaan sekolah dan dapatannya sudah diperolehi.
Apakah RPM sudah melakukan perkara yang sama terutama dalam isu kanak-kanak 6 tahun memasuki Tahun 1?
Bila percanggahan prinsip awal berlaku, rakyat mempunyai persepsi seolah-olah RPM disediakan dalam keadaan ‘separuh masak’ sebagai tindakan kerajaan untuk memperlihatkan kononnya inisiatif ‘reformasi’ yang dilaungkan selama ini turut dilakukan dalam pendidikan negara.
Tidak dinafikan bahawa reformasi perlu tetapi asas utama penambaikan sistem dan kualiti pendidikan negara perlu menumpukan kepada beberapa aspek sahaja iaitu kandungan kurikulum, kaedah pembelajaran, bilangan dan kemahiran guru yang mencukupi serta kemudahan dan peralatan pembelajaran yang lengkap mengikut perubahan zaman.
Kekalutan pra-pelaksanaan RPM ini ibarat kegagalan juruelektik membaiki perkakas elektrik yang rosak dengan membaik pulih seluruh sistem elektrik di rumah. Akhirnya, apabila perkakas itu digunakan semula, satu rumah pula terbakar.
Maka itulah nasib RPM. Bukan sahaja sistem pendidikan boleh jadi kalut, imej kerajaan Madani juga menjadi ukuran majoriti rakyat yang akan mengundi mereka tidak lama lagi.
Saya akhiri kolum kali ini dengan serangkap pantun:
Berburu di hutan dapat rusa,
Berbubu di sungai dapat kelah,
Terburu bertindak badan binasa,
Terburu merancang keyakinan goyah.
*Penulis adalah penganalisis sosio-ekonomi.



