BKK penjawat awam : Selangor beri 3 bulan gaji, P. Pinang beri 0.75 bulan gaji atau minimum RM1,000

KERAJAAN Selangor hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak tiga bulan gaji kepada penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata insentif berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada khidmat penjawat awam yang telah berusaha bersama-sama membangunkan negeri Selangor.

“BKK sebanyak satu bulan setengah gaji telah disalurkan pada awal tahun ini, manakala BKK kali kedua sebanyak satu bulan setengah gaji, (dengan) minimum RM1,000 akan disalurkan pada 18 Dis 2025,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor, di Shah Alam hari ini, lapor Bernama.

Amirudin berkata bagi pemimpin masyarakat (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung), Pegawai Perhubungan Kampung Baru, Bagan dan Tersusun, Ketua Komuniti India, Penyelia Wanita Berdaya serta Penggerak Belia Selangor pula akan menerima satu bulan elaun.

“Petugas masjid pula menerima RM500 sumbangan kerajaan negeri melalui Menteri Besar (Pemerbadanan) (MBI Selangor),” katanya.

DI PULAU PINANG, – Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan BKK sebanyak 0.75 bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada 3,954 penjawat awam di negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan 2026 berkata bantuan berkenaan akan dibayar pada bulan depan yang melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM11.49 juta.

Beliau berkata selain itu, penyelia serta guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru Sekolah Rendah Agama rakyat (SRAR), guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), kakitangan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) turut menerima imbuhan RM300 secara sekali bayar.

“Turut menerima RM300 ialah guru tahfiz, guru pondok, guru tadika Islam (TADIS) serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina negeri yang keseluruhannya sebanyak 3,358 orang,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Georgetown hari ini.

Sementara itu, Chow berkata kerajaan negeri telah memperkenalkan inisiatif Bantuan Cuti Sakit Kontrak (BCSK) sebagai langkah kebajikan tambahan untuk memastikan penjawat awam secara Lantikan Kontrak Interim (LKI) terus mendapat perlindungan sewajarnya ketika menghadapi masalah kesihatan serius.

Beliau berkata melalui pelaksanaan inisiatif itu, pegawai LKI yang disahkan tidak dapat bertugas atas sebab kesihatan dan memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan boleh dipertimbangkan bayaran bantuan, dengan kadar bayaran bersamaan emolumen semasa pegawai.

“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen kerajaan negeri terhadap kebajikan pegawai lantikan kontrak, di samping menzahirkan prinsip tadbir urus berteraskan kesejahteraan, empati dan keadilan sosial dalam pengurusan sumber manusia sektor awam negeri,” katanya.

Pulau Pinang menerima pakai dasar pengambilan baharu penjawat awam secara LKI selaras dengan dasar Kerajaan Persekutuan, berkuat kuasa 1 Jan 2025.

Chow hari ini membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM1.088 bilion bagi perbelanjaan mengurus dengan anggaran defisit RM19.92 juta yang merupakan terendah dalam sejarah negeri.

Perbelanjaan mengurus Belanjawan 2026 itu meningkat RM147.72 juta, iaitu 15.71 peratus berbanding Belanjawan 2025 yang berjumlah RM940.223 juta.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img