AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah vesel nelayan asing Indonesia yang dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan negara, kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, penahanan itu dilakukan oleh aset APMM pada sekitar jam 2.32 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tradisional itu dikendalikan empat kru termasuk tekong yang semuanya warga Indonesia berusia antara 20 hingga 34 tahun.
“Vesel berkenaan tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dalam perairan Malaysia tanpa permit sah.
“Mereka juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua kru bersama vesel, peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan bernilai lebih RM2 juta ditahan sebelum diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, Maritim Negeri Perak akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan vesel nelayan asing di perairan negara.
Katanya, kegiatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang negara malah menjejaskan sumber perikanan tempatan dan keselamatan perairan negara.
Beliau turut meminta komuniti maritim menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut menerusi talian 999 atau menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 bagi tindakan segera.


