PENEKANAN terhadap kestabilan pentadbiran ketika ini bukan satu propaganda politik untuk berpaut pada kuasa, melainkan demi memastikan kelangsungan ekonomi negara tidak terjejas.
Sehubungan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis tohmahan kononnya beliau sengaja mengelak daripada membubarkan Parlimen semata-mata demi mempertahankan kedudukan sebagai Perdana Menteri.
Beliau mengaskan, kestabilan politik menjadi faktor penting yang menyokong prestasi ekonomi semasa, termasuk dalam melonjakkan keyakinan pelabur asing dan domestik ke Malaysia.
“Betul, keadaan ekonomi kita baik sebab politik itu stabil. Kalau hari ini politik berubah jadi haru biru, orang luar tak datang. Orang dalam negara pun kalau dia ada wang, dia tak sanggup nak labur.
“Ini bukan propaganda politik. Tetapi untuk kestabilan. Bukan kata kerana nak jaga kedudukan Perdana Menteri, bukan. Ada pilihan raya, tukar (Perdana Menteri). Saya pun tahu (realiti politik), saya bukan budak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Pertemuan Mesra bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Kedah di Dewan Perdana, UiTM Merbok, hari ini.
Anwar berkata, pengukuhan ringgit ketika ini membuktikan kedudukan ekonomi negara semakin stabil hasil dasar ekonomi yang berkesan.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan kepimpinan negara supaya tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.
Katanya, pengalaman hidup termasuk melalui pelbagai ujian menjadi pengajaran penting dalam memastikan amanah yang diberikan rakyat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.


