Charlie Kirk penyokong tegar Trump, Israel mati ditembak angkara sikap sendiri

DI AMERIKA SYARIKAT (AS) kejadian orang awam ditembak bukanlah perkara yang mengejutkan tetapi pada Rabu lalu negara kuasa besar dunia itu gempar apabila Charlie Kirk mati ditembak ketika mengadakan program ‘Prove Me Wrong’ di Utah Valley Universiti (UVU)

Pemuda yang dianggap tokoh sayap kanan AS dan seorang pemengaruh  itu terkena tembakan di bahagian leher dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Charlie Kirk dikenali sebagai seorang anak muda yang rapat dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Pada usia 18 tahun, Kirk terlibat dalam Turning Point USA (TPUSA), sebuah organisasi yang memfokuskan kepada pendidikan politik, khususnya untuk generasi muda negara itu.

Di bawah kepemimpinannya, TPUSA berkembang menjadi organisasi aktivis pemuda konservatif terbesar di AS. Gerakan ini ditubuhkan di dalam lebih 3,000 kampus dan kolej. Ia dianggotai oleh  650,000 anak muda dengan dibantu oleh 450 pekerja.

Kirk, yang juga kerap menulis artikel-artikel komentar politik di Fox News, Newsweek, hingga The Washington Times, mempunyai program sendiri  The Charlie Kirk Show – podcast harian yang disiarkan di 150 stesen. Dalam setahun terakhir, jumlah penontonnya  mencapai 120 juta.

Beliau menjadi salah seorang jurucakap Trump yang paling menonjol dengan tampil di Konvensyen Nasional Parti Republik pada 2016 dan 2020 serta ikut berarak ketika pelantikan Trump sebagai Presiden AS buat kali kedua pada Januari lalu.

Justeru tidak hairanlah apabila Kirk mati ditembak, Trump menulis dalam akaun media sosialnya bahawa, ‘’Tidak ada yang memahami dan menguasai hati pemuda AS lebih daripada Kirk. Beliau dicintai dan dikagumi oleh semua orang, terutama saya.”

 Atas sebab itu Kirk dilihat sedikit sebanyak terikut-ikut dengan gaya Trump termasuklah bersikap angkuh dan dianggap sering menyebarkan kebencian.

Dalam isu Israel-Palestin, Kirk menampilkan dirinya sebagai penyokong kuat negara zionis tersebut. Bahkan dia  lantang menyokong  pembunuhan beramai-ramai dilakukan oleh tentera Israel ke atas rakyat Palestin pada 2023.

Baru-baru ini Kirk menyangkal pelbagai laporan dan bukti yang menunjukkan Israel sengaja menghalangi bantuan kemanusia ke Gaza dan menafikan  tentera Israel  menembak penduduk Gaza yang sedang mencari bantuan.

“Tidak. Israel tidak membuat warga Gaza kelaparan,” tulisnya di platform  X (dahulu bernama Twitter) . Kirk juga kerap melancarkan serangan terhadap umat Islam.  Dia menuduh orang Islam sebagai “golongan ekstremis dan menganggap   Islam tidak sesuai dengan nilai-nilai Barat”.

Tyler Robinson, pemuda berusia 22 tahun yang menembak mati Charlie Kirk.

Berikutan sokongannya terhadap Israel, Benjamin Netanyahu yang kini dianggap pembunuh nombor 1 dalam dunia berikutan pembunuhan ke atas rakyat Palestin dalam akaun X berkata;

‘’Charlie Kirk telah dibunuh kerana bercakap benar dan mempertahankan kebebasan. Seorang sahabat Israel yang berhati singa, beliau melawan pembohongan dan berdiri teguh demi tamadun Judeo-Kristian. Saya berbicara dengannya hanya dua minggu lalu dan menjemputnya ke Israel. Malangnya, lawatan itu tidak akan berlaku. Kita kehilangan seorang insan yang luar biasa.”

Dalam cuitan terakhirnya mengenai Islam, Kirk menulis: “Islam adalah pedang yang digunakan puak kiri untuk menyembelih leher Amerika.’’ Dia turut berkata Islam tidak mengamalkan kebebasan bersuara, tiada kebebasan beragama, dan Islam tidak menganut pemisahan masjid dan negara. Dia juga pernah membuat kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW.

Selain itu dia  menyokong penuh tindakan Trump menghantar pulang pendatang  warga asing di AS dan menganggap mereka tidak layak mengaut kekayaaan negara itu. Atas sebab itulah Kirk dianggap penyebar kebencian dan bersikap perkauman.

Salah satu sikap buruk Kirk ialah ketika menghadiri forum-forum, jika dia gagal melawan hujah mana-mana individu yang mengemukakan soalan berkaitan sesuai isu, Kirk akan memalukan individu itu dengan pelbagai gelaran atau kecaman.

Charlie Kirk ketika menjawab soalan Tyler Robinson memperlekehkan pemuda tersebut.

Tahukah anda salah seorang yang pernah menjadi mangsa dimalukan oleh Kirk ialah Tyler Robinson, pemuda berusia 22 tahun. Robinson disahkan sebagai individu yang melepaskan tembakan tepat  ke leher Kirk di program ‘Prove Me Wrong’ di Utah Valley Universiti.

Akibat tembakan itu Kirk terkulai di hadapan orang ramai sebelum dihantar ke hospital oleh pengawal peribadinya namun dia gagal diselamatkan.

Dalam salah satu program tersebut, Robinson dilihat mengeluarkan hujah untuk memalukan Kirk apabila tidak dapat menjawab persoalan berhubung  tindakan AS menghantar pulang 200 warga asing yang sudahpun mendapat kewarganegaraan negara itu.

Penangkapan ke atas Robinson dilakukan pada hari Jumaat setelah keluarganya melihat wajah Robinson menjadi buruan. Mereka menyuruh dia menyerah diri kepada polis.

Siasatan polis menunjukkan bapanya Carl Robinson  dan ibunya Amber Denis Robinson adalah penyokong Republika iaitu parti Trump tetapi Robinson tidak menyokong mana-mana parti.

Lembaga Pendidikan Tinggi Utah mendedahkan Robinson ialah pelajar tahun ketiga dalam program latihan di Kolej Teknikal Dixie.

‘’ Dia sebelum ini menghadiri Utah State University selama satu semester pada 2021 dan memperoleh  pendaftaran melalui Utah Tech University semasa di sekolah menengah antara 2019 dan 2021,” kata Lembaga Pendidikan Tinggi Utah.

Ahli keluarga Robinson memberitahu penyiasat bagaimana Robinson yang dikatakan seorang  gay semakin aktif dalam politik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kata mereka,  baru-baru ini, ketika makan malam Robinson menyatakan Kirk akan datang ke UVU dan ahli keluarganya menyebut mereka tidak suka kepada Kirk kerana dia adalah individu yang dalam dirinya penuh kebencian dan menyebarkannya.

Dalam satu tinjauan yang disiarkan dalam Tik Tok, seorang pelajar wanita kulit putih di sebuah universiti ditanya, ”seandainya anda mempunyai butang untuk kembali ke masa sebelum Kirk ditembak, adakah anda akan menekan butang itu supaya Kirk dapat diselamatkan?” Gadis itu menjawab ‘Tidak!

Ternyata sekali kebencian yang disebabkan oleh Kirk  menjadi ‘peluru’meragut nyawanya. Dia membenci pendatang, dia membenci warga kulit hitam, dia membenci Islam, tetapi yang membunuhnya ialah warga Amerika Syarikat, pemuda kulit putih beragama Kristian.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img