AKTIVIS politik, Badrul Hisham Shaharin hari ini memfailkan notis untuk mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi yang memerintahkan ganti rugi RM550,000 kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam satu saman fitnah.
Peguam kepada pemimpin Bersatu itu, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Badrul Hisham atau dikenali sebagai Chegubard turut memfailkan afidavit tambahan serta permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman tersebut sementara menunggu keputusan mahkamah terhadap permohonannya.
Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Muhammad Rafique berkata, semakan fail dalam sistem mahkamah menunjukkan perbicaraan telah berlangsung pada 12 Januari.
“Anak guam saya hanya mengetahui mengenai perbicaraan dan penghakiman itu melalui laporan media pada 29 Januari. Farhash telah memberi keterangan dan beliau tidak disoal balas,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Muhammad Rafique, defendan kedua, pencipta kandungan Nurpais Ismail, juga dijangka memfailkan notis yang sama melalui peguamnya sendiri dalam masa terdekat.
Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan ganti rugi sebanyak RM550,000 kepada Farhash dalam saman fitnahnya terhadap Badrul Hisham dan Nurpais.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi memutuskan bahawa kenyataan yang dibuat dalam satu audio siar dan disebarkan di media sosial telah menggambarkan Farhash sebagai korup, tidak jujur serta tidak layak dengan kedudukan profesional dan politiknya, sekali gus mendedahkannya kepada kebencian, ejekan dan cemuhan awam.
Mahkamah turut memutuskan bahawa penerbitan tersebut telah menyebabkan kerosakan besar terhadap reputasi Farhash dalam kehidupan peribadi, politik, profesional dan komersialnya, dan bahawa kedua-dua defendan telah bertindak dengan niat jahat.
Badrul Hisham didapati sebagai individu yang memulakan kenyataan tersebut, manakala Nurpais pula memperbesarkannya dengan menerbitkan dan menyebarkan kandungan berkenaan walaupun telah menerima notis supaya video itu diturunkan.


