Suspek berusia 14 tahun yang ditahan berhubung kes tikaman di sebuah sekolah di Bandar Utama di Petaling Jaya didakwa bertindak demikian selepas mangsa menolak perasaannya.
Seorang pelajar yang menyaksikan kejadian itu berkata, suspek dikatakan meluahkan perasaannya kepada mangsa pada malam sebelum serangan, namun remaja perempuan berusia 16 tahun itu menolak kerana tidak mempunyai perasaan yang sama.
Saksi itu berkata, suspek yang bersenjatakan beberapa objek tajam telah mengekori mangsa ke tandas perempuan sebelum menyerangnya dalam salah satu kubikel.
“Dia memegang pisau dan menahan mangsa sebagai tebusan dalam tandas. Kemudian dia mula menikamnya berulang kali,” kata pelajar itu yang enggan namanya disiarkan kepada New Straits Times.
Saksi itu berkata, rakan mangsa yang berada berhampiran segera berlari mendapatkan bantuan daripada guru disiplin.
“Guru itu bergegas ke tandas dan cuba menendang pintu. Selepas beberapa kali cubaan, pintu berjaya dipecahkan, tetapi suspek melarikan diri dan mula mengejar pelajar lain dengan pisau,” katanya.
Keadaan menjadi kecoh apabila suspek dikatakan meluru masuk ke beberapa bilik darjah Tingkatan Satu sambil memegang senjata yang berlumuran darah.
“Dia masuk ke kelas dan semua orang mula menjerit serta berlari keluar. Bajunya penuh dengan darah,” kata saksi itu lagi.
Kekecohan hanya berakhir apabila abang suspek bersama beberapa guru berjaya menahannya serta merampas pisau berkenaan.
“Abang suspek bergelut dengannya sebelum dapat merampas pisau itu. Guru-guru cuba menenangkannya,” katanya.
Pelajar itu mendakwa suspek berang selepas luahan hasrat hatinya ditolak.
“Kami diberitahu dia meluahkan perasaan kepada mangsa malam sebelumnya dan marah apabila ditolak,” katanya.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, ketika dihubungi mengesahkan bahawa siasatan turut menjurus ke arah motif berkenaan.
“Saya tidak dapat mendedahkan lebih lanjut kerana siasatan masih dijalankan, termasuk mengenal pasti motif sebenar serangan itu.
“Saya akan memberikan maklumat lanjut selepas kami memperoleh hasil siasatan yang kukuh,” katanya.
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4496″]


