PENDAKWAH selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya daripada pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019.
Keputusan itu dicapai menerusi majoriti dua daripada tiga hakim selepas panel Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan akhir yang dikemukakan oleh tertuduh.
Panel diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid bersetuju membenarkan rayuan berkenaan, manakala seorang lagi hakim, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, mempunyai pandangan berbeza.
Ketika membacakan keputusan majoriti, Azman berkata, sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat, sekali gus mengetepikan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dijatuhkan sebelum ini.
Da’i Syed yang mengikuti prosiding di kandang tertuduh dilihat tidak dapat menahan sebak dan menangis sejurus keputusan itu diumumkan.
Pada prosiding rayuan 3 Ogos lalu, pihak pembelaan yang diwakili Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Datuk M. Athimulan berhujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah melakukan kekhilafan ketika mensabitkan tertuduh.
Pembelaan turut mempertikaikan dapatan mahkamah yang menggambarkan pengadu sebagai wanita naif kerana ia didakwa tidak selari dengan keterangannya sendiri bahawa dia seorang dewasa yang matang serta mampu menjaga keselamatan diri.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim yang mewakili pihak pendakwaan menegaskan perbuatan itu bukan dilakukan atas kerelaan pengadu, sebaliknya tanpa persetujuan mangsa.
Sebelum ini, pada 23 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan terhadap Da’i Syed selepas menolak rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen.
Hakim Mahkamah Tinggi, Adlin Abdul Majid ketika itu memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman.
Tertuduh kemudian diarahkan menjalani hukuman di Penjara Kajang sebelum Mahkamah Rayuan membenarkan pembebasan sementara pada 14 Februari lalu, selepas 21 hari berada dalam penjara.
Da’i Syed turut memfailkan rayuan pada 26 Januari lalu bagi mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan.
Untuk rekod, tertuduh didakwa pada 10 Disember 2020 atas tuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di Seksyen 7, Shah Alam, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.





