DASAR kerajaan perlu dirangka secara komprehensif dan responsif dengan mengambil kira keperluan industri bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam mendepani perubahan ekonomi yang semakin dinamik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penglibatan aktif pemain industri penting bagi memastikan dasar yang dirangka bersesuaian dengan keperluan sebenar setiap sektor ekonomi.
Beliau berkata, pendekatan itu turut diterapkan ketika kerajaan merangka Belanjawan 2027 dengan mengambil kira pandangan serta keperluan pelbagai sektor sebelum diselaraskan dengan kerangka dasar kerajaan.
“Keselarasan itu sekali gus penting bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang seiring perubahan semasa.
“Sebab itu ketika merangka Belanjawan 2027 baru-baru ini, saya ingatkan kawan-kawan saya di Perbendaharaan…saya kata, jangan kita mula dengan kerangka kita. Kita harus mula dengan kerangka semua sektor di bawah. Kemudian baharu kita lihat apakah ia boleh diserasikan dengan lakaran yang harus kita bentangkan atau perlu ada sedikit pengubahsuaian,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 di Dewan Perdana Menara MITI di ibu negara malam ini.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan akan terus memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh setiap lapisan masyarakat.
Katanya, usaha itu penting bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, termasuk membantu golongan miskin dan terpinggir di kawasan pedalaman yang masih ketinggalan dari segi ekonomi.
Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi perlu bergerak seiring dengan kesaksamaan sosial dan tidak hanya diukur berdasarkan peningkatan eksport atau pencapaian angka ekonomi semata-mata.
“Kita tak boleh bincang dan bicara soal memacu pertumbuhan, eksport yang tinggi, angka yang menakjubkan tetapi kesenjangan (jurang) dan inequality (ketidaksamaan) melebar. Kelompok miskin terpinggir, sama ada di Hulu Kelantan atau di Kapit, Sarawak, terbiar. Tidak boleh.
“Jadi negara kita ini harus mempunyai suatu pendekatan memusatkan perhatian kita langkah-langkah yang khusus untuk mengangkat ekonomi menggapai di langit, tapi masih mengakar di bumi,” katanya.
Perdana Menteri turut menekankan keperluan generasi baharu bersedia merancang dan mendepani ekosistem ekonomi masa hadapan, khususnya dengan memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan industri moden.
Katanya, usaha memajukan ekonomi negara tidak boleh terus bergantung pada pendekatan lama yang tidak lagi sesuai dengan perubahan semasa.





