SEBUAH pangkalan data ketenteraan rahsia Israel menunjukkan majoriti besar rakyat Palestin yang terbunuh di Gaza adalah orang awam, menurut siasatan bersama oleh The Guardian, +972 Magazine dan Local Call.
Menurut angka yang diperoleh media berkenaan, sehingga Mei lalu iaitu selepas 19 bulan perang Israel di Gaza, risikan tentera Israel merekodkan 8,900 anggota pejuang Hamas dan Jihad Islam Palestin (PIJ) disahkan atau ‘berkemungkinan’ maut.
Dalam tempoh sama, pihak berkuasa kesihatan Gaza mencatat sekurang-kurangnya 53,000 kematian akibat serangan Israel, bermakna hanya kira-kira 17 peratus daripada jumlah keseluruhan korban adalah pejuang, manakala selebihnya iaitu 83 peratus adalah orang awam.
Penyelidik konflik dan peperangan menyifatkan nisbah itu sebagai hampir tidak pernah berlaku dalam sejarah perang moden.
Hanya genosid di Rwanda, pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica pada 1995 dan pengepungan Mariupol oleh Russia pada 2022 mencatatkan kadar korban awam lebih tinggi, menurut laporan itu.
Kumpulan hak asasi manusia dan pakar genosid berkata, penemuan itu menguatkan lagi dakwaan bahawa Israel sedang melakukan genosid di Gaza, dengan merujuk kepada jumlah korban awam yang tinggi serta tindakan menyebabkan kebuluran secara sengaja.
Sementara itu, tentera Israel tidak menafikan kewujudan pangkalan data risikan atau angka kematian membabitkan anggota Hamas dan PIJ.
Namun, jurucakap tentera hanya berkata, angka dikemukakan dalam laporan itu tidak tepat dan data berkenaan tidak mencerminkan maklumat dalam sistem tentera Israel, tanpa menjelaskan keadaan sebenar.
Pemimpin politik dan tentera Israel didakwa sering melebih-lebihkan jumlah kematian pejuang, antaranya dengan mendakwa sehingga 20,000 pejuang terbunuh atau mendakwa nisbah korban awam dan pejuang adalah 1:1, iaitu angka yang menurut laporan itu tidak boleh dipercayai secara peribadi.
Dalam masa sama, retorik yang digunakan pemimpin Israel semakin mencerminkan bahasa genosid.
Dalam rakaman audio yang bocor dan disiarkan saluran Channel 12 Israel, bekas ketua risikan tentera, Aharon Haliva, berkata hakikat sudah ada 50,000 orang mati di Gaza adalah perlu dan wajar demi generasi akan datang.
Sementara itu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, menjelang Mac lalu, angka korban di Gaza mencecah 50,000 dan kini melebihi 62,000, manakala jumlah yang cedera pula dilaporkan melebihi 157,000 orang.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebelum ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan antara Oktober 2023 dan Mei 2024.


