
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Dr.Zaliha Mustafa yang memberitahu penyalahgunaan lesen perniagaan yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadi punca kewujudan premis yang menjalankan aktiviti songsang susulan penahanan 201 lelaki dekat Chow Kit, Jumaat lalu.
Malah penulis juga faham apabila Dr Zaliha berkata,’’ Biasanya apabila ada permohonan lesen, apa yang kita berikan adalah lesen mengikut apa yang mereka tuliskan dalam paper (dokumen)… contohnya kalau dikatakan lesen untuk pembukaan spa, kita benarkan.
“Masalahnya adalah kadang-kadang kita beri lesen, tapi aktiviti yang dilakukan selepas daripada itu adalah di luar kawalan kita, itu yang kadang-kadang kita jumpa aktiviti-aktiviti yang selain daripada apa yang telah mereka mohon dalam lesen tersebut,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Tetapi persoalannya apakah tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas itu? Adakah bangunan berkenaan disita, lesen ditarik balik? Bagaimana pula dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) adakah bekalan elektrik dipotong? Bukankah ini prosedur yang sering dilakukan jika ada pemilik premis melanggar syarat lesen?
Apa yang dilakukan oleh premis SPA tersebut amat tidak bertanggungjawab apabila menjadikan ia sebagai sarang maksiat. Lebih teruk lagi melibatkan aktiviti songsang yang amat bertentangan dengan kehidupan rakyat negara ini.
Oleh itu adalah wajar Dr.Zaliha mengarahkan supaya DBKl melakukan tindak tegas ke atas premis SPA tersebut. Gunakan segala peruntukan undang-udang sedia ada bagi memastikan pemilik premis tersebut dihukum sekeras-kerasnya.
Tiada gunanya kalau pihak polis bersungguh-sungguh mahu membanteras perbuatan tidak bermoral itu tetapi premis itu tidak dikenakan tindakan tegas.
Oleh itu menyita premis, membatalkan lesen, memotong bekalan elektrik dan air terhadap kesalahan itu adalah wajar.
Dr.Zaliha juga memberitahu, terdapat jawatankuasa dikenali sebagai ‘KL Strike Force’ yang ditubuhkan untuk mengambil tindakan sewajarnya mengikut aduan.
“Dalam jawatankuasa itu, kita bekerjasama dengan agensi lain termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya.
“Ia bergantung kepada mana agensi yang akan bertanggungjawab untuk ambil tindakan selanjutnya,” katanya.
Gabungan agensi ini memang nampak mantap tetapi adakah ia benar-benar berkesan jika tiada tindakan tegas dilakukan ke atas premis SPA tersebut oleh DBKL?
.Agensi-agensi lain hanya membantu melaksanakan undang-undang apabila ada kesalahan dilakukan di dalam premis berdasarkan bidang kuasa masing-masing tetapi DBKL paling berkuasa kerana pemberi lesen.
Kalau syarat lesen sudah dilanggar, undang-undang sudah dicabul seperti mana premis SPA berkenaan, DBKL perlu senaraihitamkan pemilik premis berkenaan dan menyita premis tersebut…itu saja paling terbaik!Tiada alasan lagi…


