Demi pulihkan sokongan kaum Cina, setelah UEC apa lagi tuntutan DAP selepas ini?

KEKALAHAN teruk di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini benar-benar meletakkan DAP khususnya Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke dalam keadaan tertekan.

 Anthony dan DAP tahu arus penolakan itu bukan sahaja di Sabah malah mungkin akan merebak ke Semenanjung dalam pilihan raya seterusnya. Kaum Cina dikatakan marah dengan DAP.

Difahamkan dua bulan sebelum PRN Sabah ada pemimpin DAP sudah menjangkakan parti itu akan kalah teruk dalam pilihan raya berkenaan kerana  penolakan pengundi Cina.

Pengundi Cina marah kerana melihat DAP sekadar ‘pak turut’ dalam kerajaan, orang Cina tidak puas hati kerana DAP bekerjasama dengan UMNO, orang Cina kecewa kerana DAP dilihat tidak berbuat apa-apa apabila Pakatan Harapan (PH) tidak melaksanakan reformasi yang dijanjikan sebelum pilihan raya.

Itulah antara faktor yang dikatakan menjadi punca penolakan kaum Cina terhadap DAP mula membara. DAP tahu keadaan ini dan DAP sedar ‘bahaya yang menanti’, oleh itu mereka tidak boleh mendiamkan diri selepas ‘badai negeri di bawah bayu menghempas bahtera’ yang menggugat pelayaran  politik DAP.

Selama ini DAP selesa. Dengan memiliki kerusi paling banyak dalam Kerajaan Perpaduan yang turut disertai oleh Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO, DAP merasakan pengundi Cina akan terus bersama mereka.

Tetapi mereka silap! PRN Sabah menyaksikan DAP ditolak secara total. Kesemua lapan kerusi yang ditandingi, semuanya ‘dibungkus dan diikat mati’. DAP terserentak, lamunan terhenti. DAP mesti melakukan sesuatu…tidak lagi boleh bergantung dengan nostalgia kemenangan PRU-15 atau merasakan pengundi Cina tetap bersama mereka.

Atas sebab itulah melalui dalam wawancara dengan saluran YouTube bahasa Cina “The Keywords”, Anthony bagaikan memberi kata dua kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan sepertimana dilaporkan oleh Malaysiakini, jika Perdana Menteri gagal melaksanakan reformasi bermakna dalam tempoh enam bulan akan datang, DAP akan menilai semula peranannya dalam kerajaan.

Walaupun Anthony tidak menyatakan secara khusus, penilaian semula itu mungkin termasuk DAP keluar daripada Kabinet dan menjadi penyokong kerajaan sahaja.

“Saya jelaskan hari ini, dan saya harap semua media akan memetik ayat ini – DAP tidak akan membiarkan kerajaan ini tumbang sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Ini kerana kita memegang 40 kerusi (Parlimen). Jika (seseorang) menarik hanya dua kerusi, kerajaan tidak akan tumbang; tetapi jika kami menarik kesemua 40 kerusi, kerajaan akan runtuh,” katanya.

Kenyataan DAP itu ternyata mengejutkan kepimpinan Pakatan Harapan yang terus mengadakan mesyuarat tergempar semalam dengan berjanji untuk mempercepatkan reformasi  bagi mendapat semula keyakinan awam.

Anthony menegaskan dalam tempoh enam bulan akan datang, kerajaan mesti menunjukkan perubahan yang ketara dan menawarkan harapan, sekali gus mengubah persepsi negatif awam.

“Saya tidak kata semua masalah boleh diselesaikan dalam enam bulan, tetapi kita mesti lihat beberapa perubahan – cukup untuk pengundi merasakan kerajaan ini masih ada harapan. Persepsi awam mesti diperbaiki.

“Jika persepsi tidak boleh diubah, maka selepas enam bulan kita mesti membuat keputusan muktamad, tetapi keputusan itu tidak bermakna kita  berhasrat untuk membiarkan kerajaan jatuh – sama sekali tidak,” tekannya.

Persoalannya, adakah selain mendesak soal mempercepatkan reformasi, DAP juga akan membuat tuntutan-tuntutan lain bagi menunjukkan mereka memperjuangkan kepentingan kaum Cina. Ia memandangkan nyawa politik DAP adalah di tangan pengundi tersebut.

Apa yang berlaku di Sabah sudah menjadi bukti bahawa pengundi Cina ‘memegang jantung’ politik DAP manakala nyawa politik Kerajaan Perpaduan pula di tangan DAP. Kalau DAP dapat sokongan kaum Cina mereka selamat, kerajaan pun aman…tetapi jika kaum Cina menolak DAP bukan kata DAP malah kerajaan sedia ada juga ‘tidak akan aman’.

Penulis percaya selain tuntutan mengiktiraf UEC, DAP pasti akan membuat tuntutan lain…apakah tuntutan itu sama-samalah kita lihat nanti. Yang pasti parti-parti lain dalam kerajaan tidak akan berbunyi termasuk UMNO.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img