Difitnah jadi dalang aktiviti songsang: Mohd Naim ambil tindakan undang-undang

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pengguna media sosial yang menuduh beliau dalang aktiviti songsang.

Dalam kenyataan melalui Facebook beliau,  Mohd Nai’m menyifatkan tuduhan oleh individu itu  tidak benar, bersifat fitnah serta berniat jahat.

Berikut kenyataan penuh beliau:

Saya ingin memaklumkan bahawa Akberdin & Co, firma guaman yang mewakili saya telah mengeluarkan notis tuntutan terhadap individu bernama Azuan bin Mazalan berhubung penerbitan satu kandungan Facebook yang mengaitkan saya dengan tuduhan tidak benar, bersifat fitnah serta berniat jahat.

Kandungan tersebut sebagaimana dinyatakan oleh pihak peguam dalam notis tersebut, bukan sahaja mengandungi dakwaan yang tidak berasas, bahkan membawa maksud yang boleh merosakkan reputasi, maruah serta kedudukan saya sebagai anggota pentadbiran Kerajaan Malaysia. Tuduhan sedemikian juga mencemarkan integriti institusi Hal Ehwal Agama yang saya pimpin.

Sehubungan itu, tindakan undang-undang yang diambil adalah bagi mempertahan kebenaran, melindungi reputasi serta menghentikan penyebaran fitnah yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan keyakinan terhadap institusi agama negara.

Saya ingin menegaskan bahawa:

  1. Semua dakwaan yang ditularkan adalah palsu dan tidak berlandaskan sebarang fakta. Penyebaran fitnah adalah satu kesalahan dari sudut undang-undang dan bertentangan dengan nilai Islam yang menuntut keadilan serta larangan keras terhadap tohmahan.
  2. Tindakan undang-undang diambil menurut hak saya sebagai warganegara. Tujuannya bukan untuk menghukum sesiapa secara peribadi, tetapi untuk memastikan ruang digital tidak disalahgunakan untuk menyebarkan kebencian, manipulasi persepsi dan meruntuhkan kepercayaan masyarakat melalui maklumat palsu.
  3. Saya menghormati proses undang-undang. Tindakan seterusnya akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak guaman mengikut lunas peruntukan undang-undang sedia ada.
  4. Fokus utama saya kekal kepada tugas amanah sebagai seorang Menteri. Saya akan terus memberikan tumpuan kepada agenda Malaysia MADANI, pengukuhan syiar Islam, pemerkasaan institusi agama serta kebajikan ummah di seluruh negara.

Akhirnya, saya menyeru seluruh masyarakat agar sentiasa berwaspada dalam menerima dan menyebarkan maklumat. Semak sebelum kongsi, dan utamakan adab serta akhlak dalam berinteraksi di media sosial.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img