Ambil alih terajui PN…Pas tunggu apa lagi?

SELEPAS berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, konflik dalam Bersatu semakin serius. Kekalahan teruk Perikatan Nasional (PN) khususnya Bersatu dijadikan ‘peluru’ untuk ‘menembak’ sesama sendiri. Akibatnya konflik dalam Bersatu sudah tidak terkawal, sekaligus membuktikan kegagalan kepimpinannya untuk menguruskan parti itu.

Dalam keadaan tersebut jika penyokong PN mengharapkan Bersatu boleh menjadi teraju untuk memperkukuhkan gabungan berkenaan yang turut dianggotai oleh Pas…ia hanyalah kerja sia-sia. Sudah terbukti kepimpinan utama Bersatu tidak berupaya berbuat demikian sebaliknya dok sibuk dengan politik dalaman.

Oleh itu Pas tidak boleh duduk diam dengan hanya melihat apa yang berlaku dalam Bersatu. Benar konflik yang tercetus sekarang adalah soal dalam parti berkenaan. Tetapi konflik itu  sedikit demi sedikit semakin menjamah ‘batang tubuh’ PN yang Pas salah satu daripada ‘organnya’.

 Pas tidak boleh tunggu lagi! Pas perlu mengambil alih menjadi teraju kepimpinan PN. Siapa yang Pas mahu pilih sebagai pengerusi PN yang baharu terserah kepada Pas, yang pasti PN perlu mendapat nafas baru.

Dalam politik Malaysia sekarang ini hanya satu sahaja gabungan pembangkang iaitu Perikatan Nasional. Gabungan itulah yang diharapkan akan menjadi pencabar nombor satu kepada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti.

Sudah hampir pasti biarpun akan bertanding berasingan namun PH-BN akan bergabung menubuhkan kerajaan jika menang PRU-16. Walaupun BN pun ada masalah berikutan kedudukan MCA dan MIC yang belum pasti tetapi kedua-dua parti itu bukan tonggak utama BN.

Tanpa kedua-dua parti itupun BN tetap boleh menang dengan sokongan penyokong PKR dan DAP.  Penyokong PKR boleh bantu BN di kawasan campuran manakala pengundi DAP boleh menangkan BN di kawasan pengundi Cina jadi penentu.

Tambahan pula BN bukan parti tonggak tetapi hanya pelengkap  dalam kerjasama PH-BN. Ini berbeza dengan PN. Bersatu yang bermasalah itu kini menjadi peneraju, kalau penerajupun bermasalah macam mana PN mahu menyusun strategi untuk mencapai kemenangan dalam PRU-16?

Oleh itu Pas perlu mengambil alih kepimpinan PN. Kalau ada pemimpin Bersatu mahu protes biarkan sahaja, sebenarnya dari segi kekuatan, jumlah kerusi DUN dan Parlimen serta negeri dikuasai, Pas jauh lebih layak mengetuai PN. Tetapi selama ini Pas bertolak ansur dan memberikan amanah itu kepada pemimpin Bersatu. Walaupun kadang kala ada tindakan dilakukan tanpa berunding dengan Pas, Pas tetap sabar.

Kini sudah terbukti, di bawah kepimpinan Bersatu, PN bukannya semakin kukuh malah menanti masa untuk runtuh. PH-BN langsung tidak peduli dengan cabaran PN tetapi mereka lebih melihat Pas sebagai ‘ancaman’. Parti itu yang ketika ini menguasai Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu disebut-sebut akan menguasai dua lagi negeri selepas PRU-16 iaitu Perak dan Pahang.

Pas perlu selamatkan PN kerana hanya Pas boleh berbuat demikian. Bersatu sudah tidak mampu berikutan perpecahan yang berlaku dalam parti itu. Kekalahan total di Sabah sudah menjadi bukti. Bukan disebabkan Bersatu tidak kuat tetapi disebabkan konflik dalaman. Tiada kerjasama kepada jentera, tiada kesepakatan antara pemimpin dan tiada bantuan tambahan dari segi kewangan serta logistik menyebabkan Bersatu tersungkur!

Ia berbeza dengan Pas. Seluruh kepimpinan Pas turun ke Sabah memberi sokongan, Presiden Pas Abdul Hadi Awang biarpun bertongkat dan dipapah sanggup berpanas berarak bersama calon. Tetapi bagaimana dengan Bersatu? Carilah jawapan sendiri…

Yang pastinya, Pas perlu ambil alih PN. Pedulikan apapun MCA, pengundi bukan Melayu dan parti lain mahu kata. Ini urusan PN. Sepatutnya dalam keadaan kerajaan sedang berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk isu integriti dan tidak keupayaan melakukan reformasi yang dijanjikan….PN boleh bertindak sebagai pemain utama bagi memperjuangkan pelbagai isu.

Tetapi malangnya PN hanya menjadi ‘saksi bisu’. Tidak berbuat apa-apa. Yang mereka tahu hanya mencari salah untuk menyingkirkan pemimpin itu dan ini. Dengan tempoh mengadakan PRU-16 hanya tinggal setahun setengah lagi manakala PRN Melaka dan Johor semakin hampir, PN harus dipulihkan segera.

PN tidak boleh dibuai dengan ramai yang memohon  menyertai gabungan itu, sebaliknya menumpukan perhatian bagi membina kekuatan. Lagipun kemasukan parti-parti tersebut belum tentu mampu memberi kemenangan kepada PN.

Penulis percaya dengan rekod bersih dari segi integriti, memiliki kekuatan di peringkat umbi, Pas mampu ‘memulihkan kembali’ keupayaan PN bagi menghadapi pilihan raya-pilihan raya berkenaan. Usah lagi bernostalgia dengan pencapaian PN pada PRU-15, semua itu rakyat sudah lupa.

Justeru Pas perlu mengambil alih kepimpinan PN jika tidak mahu gabungan itu berkubur. Tidak kisahlah kalau Pas mahu pemimpin Bersatu menjadi Pengerusi tetapi Pas mesti menjadi tonggak utama. Pas yang membuat keputusan dan menentukan hala tuju PN bukannya parti lain dalam kesepakatan tersebut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img