Bekas Pengerusi TH, bekas KSU Perbendaharaan hadir untuk proses reman

SEORANG bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan juga bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi mendapatkan perintah reman berhubung kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kedua-dua mereka yang memakai baju jingga lokap SPRM tiba kira-kira jam 9.30 pagi menaiki kenderaan SPRM sebelum diiringi dalam keadaan bergari ke kamar mahkamah.

Dua individu berkenaan kelihatan tenang dan sempat menyapa rakan terdekat serta petugas media yang menunggu dengan ucapan “Assalamualaikum”, lapor Buletin TV3.

SPRM memohon perintah reman itu bagi membantu siasatan susulan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Bekas Pengerusi TH berkenaan dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan itu ditahan ketika hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, semalam.

Terdahulu, sumber daripada laman TikTok SPRM mendedahkan kedua-dua lelaki dalam lingkungan usia 60-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir ke ibu pejabat SPRM.

Penahanan terbaharu itu menjadikan siasatan SPRM berhubung dapatan RCI TH terus diperluaskan.

Turut kelihatan tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH yang direman selama tujuh hari sejak Jumaat lalu bagi membantu siasatan berkaitan laporan RCI berkenaan.

Beliau disyaki terbabit dalam penyelewengan wang pelaburan dan saham milik TH yang dianggarkan bernilai kira-kira RM190 juta.

Sebelum ini, SPRM sudah menahan dan memanggil tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung RCI itu.

Mereka terdiri daripada bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat perkapalan, pengarah syarikat pembinaan, bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.

Laporan RCI TH yang didedahkan selepas empat tahun mengemukakan 25 syor utama bagi meningkatkan ketelusan, profesionalisme dan tadbir urus institusi terbabit.

Antara syor utama laporan itu adalah melarang ahli politik aktif daripada menduduki Lembaga Pengarah TH bagi mengelakkan campur tangan politik.

Antara individu yang disebut dalam laporan setebal 211 halaman itu ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa serta bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Tan Sri Md Nor Md Yusof.

Turut disebut ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here