ANALISIS
SEMALAM sebuah media terkenal di Tel Aviv, Israel Hayom mendedahkan isi kandungan sebuah dokumen setebal 21 muka surat yang bocor mendedahkan rancangan terperinci untuk menubuhkan Pihak Berkuasa Peralihan Antarabangsa bagi menguruskan Semenanjung Gaza selepas perang, di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair.
Israel Hayom adalah sebuah organisasi media yang mengedar akhbar dalam bahasa Hebrew, English dan Rusia secara percuma dengan meluas di Israel.
Dalam laporan berkaitan dokumen tersebut, Israel Hayom mendedahkan, rancangan penubuhan pihal berkuasa dirangka oleh satu pasukan yang dikaitkan dengan pejabat Blair serta tokoh-tokoh Amerika-Israel yang rapat dengan pentadbiran Presiden Donald Trump
Mereka mencadangkan satu kerangka pemerintahan antarabangsa yang akan beroperasi di Gaza selama 3 hingga 5 tahun, sebelum kawalan dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Palestin yang telah “direformasi”.
Dokumen yang bertajuk “Pihak Berkuasa Peralihan Antarabangsa Gaza” (Gaza International Transitional Authority – GITA) itu memperincikan struktur pentadbiran yang dicadangkan, menyenaraikan tokoh-tokoh utama yang dijangka memegang jawatan tinggi, serta menggariskan pelan ekonomi dan keselamatan yang akan dilaksanakan.
Intipati kepada rancangan tersebut ialah penubuhan satu Lembaga Pengarah Antarabangsa yang terdiri daripada 7 hingga 10 anggota, termasuk tokoh-tokoh perniagaan, diplomat dan pakar ekonomi.
Tony Blair dijangka mengetuai GITA sebagai Penyelaras Umum atau Presiden Eksekutif, dan akan bertanggungjawab membuat semua keputusan utama berkaitan dasar, keselamatan dan ekonomi di Semenanjung Gaza.
Ibu pejabat sementara pihak berkuasa ini dijangka ditempatkan sama ada di al-Arish, Mesir atau Doha, Qatar. Blair, 72 tahun, yang sebelum ini berkhidmat sebagai utusan Timur Tengah bagi Kuartet antara 2007 hingga 2015, telah muncul sebagai pemain utama di sebalik tabir dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Beliau telah bertemu dengan beberapa pemimpin Arab, menghadiri mesyuarat utama di Rumah Putih mengenai masa depan Gaza, dan turut bertemu Presiden Donald Trump serta penasihat kanan termasuk Jared Kushner pada Ogos lalu bagi membincangkan kemungkinan pemulihan Gaza.
Dokumen tersebut turut menyenaraikan nama-nama tokoh kanan yang dijadualkan memegang jawatan penting dalam struktur GITA, termasuk:
- Tony Blair – Presiden Eksekutif / Penyelaras Umum
- Sigrid Kaag (Belanda, bekas Timbalan Perdana Menteri) – Timbalan Presiden untuk Hal Ehwal Kemanusiaan
- Marc Rowan (Amerika Syarikat) – Pengerusi Tabung Pemulihan Gaza
- Naguib Sawiris (Mesir) – Bertanggungjawab ke atas pelaburan serantau
- Aryeh Lightstone (warganegara Israel-Amerika) – Wakil Perjanjian Abraham (Abraham Accords)
Pelan itu juga menyebut tentang kehadiran seorang wakil Palestin, namun namanya tidak didedahkan atas sebab “simbolik”. Bagaimanapun, dokumen menekankan bahawa wakil tersebut tidak akan mempunyai kuasa eksekutif sebenar dalam pentadbiran GITA.
Berdasarkan apa yang didedahkan oleh akhbar Israel Hayum itu, ia memberi gambaran bahawa walaupun Israel tidak lagi ‘menguasai’ Gaza namun GITA bagaikan mewakili mereka.
Jika dilihat kepada struktur GITA, tidak ada seorangpun pemimpin atau rakyat Palestin diberi kedudukan penting. Kalaupun ada dokumen itu menyatakan ‘wakil tersebut tiada kuasa eksekutif dalam GITA.
Kalau apa yang dirancang atau digariskan dalam dokumen itu menjadi kenyataan terbuktilah, pelan damai yang dirancangkan oleh Trump dan dipersetujui oleh Israel mempunyai niat yang tersirat dan penuh muslihat.
Setakat hari ini tiada mana-mana pihak menafikan dokumen yang didedahkan oleh media tersebut. Ia memandangkan sebelum ini memang sudah tersebar berita Tony Blair akan mengetuai GITA, cuma perinciannya belum diketahui.Justeru dokumen yang bocor itu dianggap benar oleh pihak-pihak terlibat.
Apapun segalanya akan lebih jelas apabila pelan rundingan damai pusingan pertama yang sedang berlangsung di Mesir diputuskan. Namun yang pasti, apapun keputusan dibuat, belum tentu rakyat Palestin akan mendapat manfaat yang besar selagi Israel tidak mahu mengiktraf negara Israel.


