Seorang lelaki dan seorang wanita maut selepas tiga kenderaan bertembung di Kilometer 52.5 Lebuhraya Senai-Desaru, berhampiran Desaru, Kota Tinggi, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.49 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah Proton X70, Proton Persona dan Toyota Unser.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Hazmi Zulkafli berkata, lelaki berusia 58 tahun yang menaiki Proton X70 dan wanita berusia 26 tahun dalam Proton Persona disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata, dua wanita berusia 47 dan 51 tahun yang turut menaiki Proton X70 mengalami kecederaan sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail menggunakan ambulans.
“Seorang lelaki dewasa yang menaiki Toyota Unser pula dilaporkan selamat,” katanya, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, anggota bomba mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dalam kenderaan sebelum mayat kedua-duanya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.





