DUA individu maut manakala dua lagi cedera selepas tiga kereta terbabit dalam kemalangan di Kilometer 18.2 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kemalangan kira-kira jam 12.20 tengah malam itu membabitkan sebuah Proton Wira dan dua kereta lain yang berada di belakangnya.
“Siasatan awal mendapati Proton Wira dipandu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an dari Shah Alam menghala ke Kuala Lumpur dipercayai gagal dikawal sebelum melanggar penghadang jalan di sebelah kanan lebuh raya.
“Kejadian itu menyebabkan perlanggaran dengan dua kereta lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, akibat kemalangan, pemandu Proton Wira dan seorang penumpang berusia lingkungan 20-an mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Shamsudin berkata, dua lagi penumpang yang juga rakan mangsa mengalami kecederaan pada badan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta saksi yang melihat atau berada di lokasi kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Nazar Md Kasim di talian 012-565 3395 bagi membantu siasatan.





