AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan dua pemancing yang dilaporkan hilang di perairan Pelabuhan Klang sejak Ahad lalu.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kedua-dua mangsa dilaporkan keluar ke laut menggunakan bot gentian kaca dari Jeti Kampung Pendamar, Klang pada jam 12.30 tengah hari, namun tidak pulang sehingga kini.
Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Muhammad Irwanshah Ismail, 33, bersama rakannya yang hanya dikenali sebagai Halim dan identiti penuh masih belum diperoleh.
“Kehilangan mereka dilaporkan oleh adik mangsa yang hadir ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor semalam.
“Kali terakhir mangsa dihubungi adalah pada jam 8.30 malam hari yang sama menerusi aplikasi WhatsApp oleh isteri mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa memaklumkan mereka sedang berlindung di sebuah rumah pancing berikutan angin kencang dengan jarak perjalanan kira-kira satu jam dari Jeti Kampung Pendamar, namun lokasi tepat tidak dinyatakan.
Sejurus menerima laporan, Maritim Malaysia mengatur gerak Bot PERKASA 36 ke kawasan rumah pancing di perairan Pulau Ketam bagi melaksanakan pencarian awal.
Menurutnya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru kemudian mengaktifkan operasi CARILAMAT pada jam 2.45 petang semalam.
“Operasi hari pertama ditangguhkan pada jam 8.30 malam berikutan cuaca buruk dan keadaan gelap yang menyukarkan pencarian sebelum disambung semula pada jam 7 pagi hari ini,” katanya.
Katanya, Maritim Negeri Selangor turut membuka Pangkalan Hadapan CARILAMAT di Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor bagi menyelaras gerak kerja operasi pencarian.
Operasi hari kedua diteruskan dengan penglibatan tambahan tiga aset daripada Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meliputi kawasan pencarian seluas 66 batu nautika persegi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga dikenali sebagai Halim diminta menghubungi Maritim Negeri Selangor bagi membantu usaha pencarian,” ujarnya.


