Dua rakan pecah masuk stor surau diberkas, terbongkar pula kes lain

TINDAKAN dua rakan memecah masuk stor sebuah surau di Taman Merlimau Utara membawa padah apabila mereka diberkas polis, sekali gus membongkar penglibatan salah seorang suspek dalam kes kecurian makanan laut di Pantai Siring, Jasin, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Lee Robert berkata, kejadian pada 8 April itu disedari seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun kira-kira jam 6 pagi selepas mendapati tombol pintu stor Surau At-Taqwa rosak sebelum membuat laporan polis.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati beberapa barangan berharga telah hilang, dipercayai dicuri termasuk televisyen jenama Sharp 45 inci, mikrofon tanpa wayar serta sebuah motosikal jenis SM Sport 110R bersama anak kunci.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin berjaya menahan dua lelaki tempatan di sebuah rumah di Pulai Baroh, Merlimau kira-kira jam 4 petang semalam.

“Hasil soal siasat awal, kedua-dua suspek berusia 33 dan 30 tahun mengaku terbabit dalam kejadian pecah masuk stor surau berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata, pemeriksaan di rumah suspek turut menemui semula barangan dipercayai hasil curi termasuk motosikal yang dilaporkan hilang.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek berusia 33 tahun itu turut mengaku terbabit dalam kes kecurian makanan laut di sebuah restoran di Bakau-Bakau Siring, Pantai Siring, baru-baru ini.

“Semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah dan narkotik.

“Ujian saringan air kencing ke atas salah seorang suspek juga didapati positif methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan dengan niat melakukan jenayah.

Terdahulu, media melaporkan seorang pencuri memecah masuk sebuah restoran makanan laut di Pantai Siring di sini dan melarikan bahan mentah masakan seperti belangkas segar, siput belitung dan mentarang bernilai kira-kira RM2,000.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img