Dua sukarelawan maut, , 16 cedera dalam serangan bom puak pemisah di  Narathiwat

DUA sukarelawan pertahanan wilayah terbunuh manakala 16 lagi cedera, termasuk enam parah, selepas sebuah lori enam roda yang membawa mereka terkena bom tepi jalan sebelum ditembak sekumpulan penyerang di daerah Sukhirin, Narathiwat, Thailand, petang semalam.

Ketua Balai Polis Sukhirin, Kolonel Praphot Lomkhet, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika sukarelawan berkenaan dalam perjalanan pulang selepas menyertai perlumbaan perahu pada pesta tahunan di daerah Muang.

Polis dan anggota tentera yang bergegas ke lokasi di Kampung Blukaya-ing, Moo 2, tambon Rom Sai, mendapati lori berkenaan terbalik dengan tayarnya menghadap ke atas.

Beberapa mangsa yang cedera dan terkorban dipercayai terperangkap di bawah kenderaan sebelum dikeluarkan anggota penyelamat dan dibawa ke Hospital Sukhirin.

Kira-kira 20 meter dari lokasi lori itu, pihak berkuasa menemukan kawah sedalam dua meter dan selebar tiga meter.

Serpihan bahan letupan dipercayai daripada alat letupan buatan sendiri (IED) yang dipasang dalam tong gas memasak seberat 50 kilogram bertaburan di atas jalan dan kawasan berhampiran.

Siasatan awal mendapati kesemua 18 sukarelawan pertahanan wilayah itu sedang menaiki lori berkenaan untuk kembali ke pangkalan mereka di daerah Sukhirin selepas menyertai perlumbaan perahu.

Apabila tiba di lokasi kejadian, sekumpulan penyerang yang jumlahnya belum dikenal pasti dan bersembunyi di kawasan semak tebal di tepi jalan dipercayai meletupkan bom yang ditanam di bawah permukaan jalan.

Letupan menyebabkan lori itu terbalik dan tercampak ke seberang jalan. Penyerang kemudian melepaskan tembakan ke arah sukarelawan terbabit sebelum mereka membalas tembakan menggunakan senjata masing-masing.

Penyerang akhirnya melarikan diri dengan memanfaatkan pengetahuan mereka mengenai kawasan berkenaan bagi mengelak daripada ditangkap.

Pihak berkuasa percaya serangan itu dilakukan kumpulan pemberontak sebagai tindakan balas terhadap kematian dua individu yang disyaki pembuat bom dalam operasi keselamatan di kawasan pergunungan Tawae, Narathiwat, pada 9 September lalu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here