DALAM dua kes berasingan di Ipoh dan Kuala Terengganu, dua wanita yang terperdaya dengan pelaburan matawang kripto dan tertipu dengan pelaburan tidak wujud mengalami kerugian keseluruhan RM5.2 juta yang menyaksikan salah seoran daripada rugi RM5 juta.
DI IPOH seorang wanita warga emas kerugian lebih RM5 juta selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan mata wang kripto tidak tidak wujud melalui platform dalam talian.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata mangsa berusia lingkungan 60-an itu yang bekerja dalam bidang profesional diperkenalkan dengan platform itu menerusi laman Facebook serta kumpulan pelaburan dalam talian.
“Siasatan awal mendapati transaksi pertama dibuat pada Julai 2025 dengan jumlah RM10,000, manakala transaksi terakhir dilakukan pada Ogos 2025. Keseluruhan kerugian yang direkodkan adalah RM,030,970,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata modus operandi sindiket adalah dengan meyakinkan mangsa melalui paparan keuntungan awal dalam sistem pelaburan bagi menarik keyakinan.
Noor Hisam berkata mangsa kemudiannya diarahkan membuat pindahan wang ke beberapa akaun bank tempatan yang dikawal oleh sindiket, namun apabila mangsa cuba membuat pengeluaran wang pokok serta keuntungan, transaksi tidak berjaya dan akses kepada platform disekat.
“Mangsa akhirnya membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang mengesahkan platform pelaburan tersebut tidak berdaftar serta disenarai sebagai entiti pelaburan tidak sah,” katanya.
Beliau berkata kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Keseksaan kerana menipu.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat, selain tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali kerana ia boleh disalah gunakan penjenayah.
DI KUALA TERENGGANU, seorang pensyarah wanita sebuah universiti di Kuala Nerus kerugian sebanyak RM244,925.61 selepas ditipu sindiket pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 14 Ogos lepas mangsa yang berusia 56 tahun menerima pesanan WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang mengandungi iklan pelaburan berserta pautan untuk menyertai skim ditawarkan.
Beliau berkata mangsa yang tertekan pautan itu secara tidak sengaja telah diberi tiga pilihan pelaburan bermula daripada skim serendah RM300.
“Mangsa telah membuat pelaburan sebanyak RM300 dan dijanjikan keuntungan sebanyak RM14,000 oleh suspek.
“Bagaimanapun, untuk mengeluarkan keuntungan itu, mangsa perlu membuat sejumlah bayaran dengan membuat pindahan wang ke beberapa akaun yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata mangsa membuat bayaran ke 18 akaun bank berbeza menggunakan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Kerja (KWSP) miliknya bermula dari 20 Ogos hingga 10 Sept lepas.
“Mangsa yang gagal mendapatkan wang keuntungan membuat laporan polis pada 10.56 malam tadi. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.


