EMPAT deretan rumah teres di Taman Assamara di Taiping musnah dalam kebakaran malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu diterima jam 10.23 malam.
Bagaimanapun menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat atau mengalami kecederaan dalam kejadian itu.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, api dikesan sedang marak di rumah bernombor 23 dan telah merebak ke bahagian bumbung rumah berhampiran.
“Rumah nombor 23 mengalami kemusnahan paling teruk iaitu kira-kira 85 peratus, manakala rumah nombor 22 musnah 50 peratus.
“Dua lagi rumah masing-masing mengalami kerosakan 10 peratus dan 30 peratus pada bahagian bumbung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dan Kamunting dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Sepetang, Bagan Serai serta Kuala Kurau.
Katanya, seramai 31 anggota terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan beberapa jentera termasuk jentera kompak Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS), kenderaan utiliti dan lori tangki air.
“Ketua operasi melakukan ‘size up’ sebelum mengaplikasikan konsep RECEO dengan mengarahkan anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap.
“Kerja pemadaman dijalankan menggunakan beberapa aliran hos dan sumber air daripada jentera serta pili bomba berhampiran,” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.17 tengah malam.






