TINDAKAN enam kru sebuah feri cuba menyeludup 433 ekor burung murai kampung ke Indonesia melalui jalan laut gagal selepas pihak berkuasa menahan sebuah feri penumpang di Kompleks Jeti Penumpang Tanjung Pengelih di Kota Tinggi semalam.
Kesemua kru lelaki warga Indonesia terbabit ditahan kira-kira jam 4.30 petang hasil risikan Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Zon Selatan.
Komander PSP Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama strategik Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas feri tersebut membawa kepada penemuan 16 bakul plastik yang telah diubah suai dan disembunyikan di dalam guni kanvas.
“Pemeriksaan mendapati kesemua bakul tersebut mengandungi 433 ekor burung murai kampung yang dipercayai cuba diseludup tanpa sebarang dokumen atau permit sah.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM57,000 dan sitaan turut dibuat ke atas vesel terbabit dipercayai digunakan sebagai medium penyeludupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan, permit import atau kebenaran berkaitan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, turut dirampas dalam operasi berkenaan adalah telefon bimbit dan pasport.
“Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Maqis dan JKDM untuk tindakan serta siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya.
Rosli berkata, kejayaan operasi ini membuktikan keberkesanan pendekatan risikan serta tindakan bersepadu antara agensi penguatkuasaan dalam membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan, khususnya melibatkan perairan Malaysia–Indonesia.
“Sebagai agensi peneraju, PSP akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan aktiviti penyeludupan hidupan liar dan jenayah rentas sempadan dapat dibanteras secara berkesan,” katanya.


