KERAJAAN negeri Johor memaklumkan setakat ini tiada sebarang arahan penutupan sekolah dikeluarkan susulan wabak Tuberkulosis (tibi) yang dikesan di daerah Kota Tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, berdasarkan pengesahan Kementerian Kesihatan (KKM), terdapat enam kes melibatkan murid termasuk dua perempuan yang disahkan hasil daripada saringan kontak rapat.

“Kerajaan negeri mengambil maklum berhubung penularan penyakit tibi yang membabitkan murid sekolah di daerah Kota Tinggi.
“Semua murid terbabit sudah diarahkan menjalani kuarantin serta menerima rawatan sewajarnya dan kini berada dalam pemantauan rapi KKM mengikut prosedur kesihatan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, satu kluster tibi direkodkan di Kota Tinggi dengan 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat bermula 25 Januari lalu hingga semalam.
Menurut beliau, satu kematian dilaporkan dalam kluster berkenaan, namun mengesahkan bukan disebabkan oleh jangkitan tibi.
Pegawai Daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus pula dilaporkan berkata, rutin harian di lokaliti yang terbabit dengan kluster tibi di daerah ini, berjalan seperti biasa dengan orang ramai dinasihatkan sentiasa menjaga kebersihan diri serta memakai penutup hidung dan mulut.
Beliau dilaporkan berkata, kluster terbabit membabitkan lokaliti Felda Sungai Mas, Bandar Mas dan Felda Papan Timur, yang semuanya berada dalam keadaan terkawal sehingga hari ini.
Aznan dalam pada itu berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi telah turun ke sekolah-sekolah terbabit bagi mengadakan sesi perjumpaan dan penerangan bersama pengurusan sekolah.
Kata beliau, sesi itu bertujuan memberi penjelasan mengenai penyakit tibi selain langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil oleh pihak sekolah, murid dan ibu bapa.
“Pada masa sama, semua sekolah perlu sentiasa mematuhi garis panduan dan arahan dikeluarkan KKM, termasuk aspek kebersihan, pemantauan kesihatan murid serta tindakan susulan yang disarankan,” katanya.
Aznan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau berita palsu berkaitan isu itu kerana ia boleh mencetuskan kebimbangan dan panik dalam kalangan masyarakat.
Katanya, kerajaan negeri Johor kekal komited memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga sekolah terus terpelihara dengan kerjasama berterusan KKM dan semua pihak berkaitan.


