
KETIKA tumpuan seluruh negara diberikan kepada isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, parti Bersatu sampai ke kemuncak ‘perang saudara’ mereka.
Ia berikutan tindakan 16 Ahli Parlimen parti itu menyokong kenyataan Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr.Ronald Kiandee yang mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu dan ia disusuli dengan pemecatan Timbalan Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada Bersatu.
Dalam isu 16 ahli Parlimen itu, mereka membuat penegasan dalam satu kenyataan yang ditandatangani bersama dan disiarkan dalam Facebook Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan.
Selain Wan Saiful, ahli-ahli Parlimen lain yang membuat desakan itu ialah Zikri Hassan (Kangara), Datuk Wira Dr.Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Roslan Hashim (Kulim-Bandar Baharu), Datuk Khlir Mohd Noor (Ketereh), Datuk Seri Ikmal Hisham Abd.Aziz (Tanah Merah), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Azahari Hassan (Padang Rengas), Nordin Ahmd Ismail (Lumut), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota, Datuk Abdul Khalid Abdullah (Rompin), Kalam Salan (Sabak Bernam), Muslimin Yahaya (Sungai Besar) dan Islahuddin Abas (Mersing).
Dalam kenyataan itu, mereka menegaskan, tidak menafikan jasa Muhyiddin sebelum ini, namun hakikatnya beliau sudah tidak lagi mampu menyatukan parti an memimpin parti ke arah kemenangn.
‘’Kami yakin Datuk Seri Hamzah Zainudin mampu menjadi pemangku Presiden yang baik, mampu mengembalikan agenda Bersatu kepada perjuangan agenda rakyat dan negara serta mampu menyatukan kembali parti demi memastikan kemenangan.
“Ini dapat membantu menyatukan semula parti dan memperkemas strategi politik menjelang pilihan raya akan datang,” katanya.
Tindakan 16 ahli Parlimen itu membuktikan bahawa Muhyiddin semakin hilang sokongan dalam Bersatu dan sekaligus menimbulkan persoalan sejauh manakah beliau mampu bertahan. Ia memandangkan penulis difahamkan selepas tindakan ahli Parlimen tersebut, lebih 100 daripada 168 ketua bahagian Bersatu akan melakukan langkah yang sama.
Keadaan dalam Bersatu dijangka lebih buruk lagi berikutan pemecatan Hamzah beberapa jam selepas 16 ahli Parlimen berkenaan membuat kenyataan. Ketika penulis bertanya kepada salah seorang ahli Parlimen terlibat apa akan berlaku selepas ini…beliau berkata,’’tunggu saja…yang pasti segalanya belum berakhir…esok lagi panas..’’
Apapun keadaan ia mengesahkan jangkaan penulis sebelum ini dalam kolum analisis pada 7 Februari lalu bahawa Hamzah pasti akan dipecat sama ada beliau hadir atau tidak bertemu dengan Lembaga Disiplin.
Ia memandangkan plot atau jalan cerita sama seperti ‘drama Melayu’ yang orang sudah boleh jangka pengakhirannya. Begitulah juga kesudahan nasib Hamzah apabila sebelum ini seroang demi seorang ketua bahagian atau ahli Parlimen dipecat atau digantung kerana didakwa mereka mengkritik ‘Presiden Pengasas yang juga bekas Perdana Menteri’.
Adakah Bersatu akan kembali aman? Sama sekali tidak sebaliknya Bersatu akan terus berantakan dan kemungkinan tidak mampu dipulihkan apatah lagi setelah Hamzah dipecat, ‘operasi pembersihan geng Hamzah’ hampir pasti dilakukan bagi memastikan kedudukan Muhyiddin tidak tergugat.
Bagaimanapun apa yang menjadi persoalan apakah pendirian Pas memandangkan mereka memilih Hamzah menjadi Ketua Pembangkang. Adakah kedudukan itu akan kekal? Dan Paling penting adakah Pas akan terus berada dalam Perikatan Nasional (PN) lagi? Biarlah rahsia…yang pasti ‘’ke mana Hamzah pergi di situlah kesemua 16 ahli Parlimen itu akan menyusuli’’… Sama-samalah kita tunggu ‘’esok lagi panas’’!.


