PELAKON popular, Fattah Amin sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon, Amira Othman pada majlis pernikahan di Golden Palm Tree Resort, Sepang, malam ini
Majlis akad nikah yang disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri itu pada pukul 9.08 malam dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga serta kenalan rapat pasangan berkenaan.
Dalam majlis itu, Fattah menyerahkan mas kahwin berupa seutas gelang emas tunai bersama lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.
Majlis pernikahan turut diadakan sempena ulang tahun kelahiran Fattah. Tarikh bersejarah itu dipilih oleh Amira yang menyifatkan perkahwinan mereka sebagai hadiah paling bermakna buat suaminya.

“Alhamdulillah, syukur kerana semuanya dipermudahkan. Terima kasih kepada keluarga, sahabat dan peminat yang sentiasa mendoakan kami,” kata Fattah selepas selesai akad nikah.
Amira turut meluahkan rasa syukur kerana kini sah bergelar isteri kepada aktor tersebut, selain berharap doa yang baik sentiasa mengiringi perjalanan baharu mereka sebagai pasangan suami isteri.
Pasangan pengantin tampil anggun dalam persalinan serba putih dengan rekaan busana Rizman Ruzaini yang digayakan oleh Fattah, sementara Amira pula menyerlah keayuan dalam persalinan putih rekaan Teh Firdaus.


