FIFA buat laporan jenayah di 5 negara, FAM rujuk Mahkamah Timbang Tara Sukan, siapa  akan terkesan?

KETIKA Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) begitu beria-ia akan membawa kes pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara, Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) bertindak lebih tegas.

Ia berikutan langkah badan bolasepak dunia itu mengarahkan sekretariatnya memaklumkan pihak berkuasa jenayah di Malaysia dan beberapa negara lain, bagi memulakan siasatan atas dakwaan pemalsuan dokumen tujuh pemain bola sepak naturalisasi tersebut.

Berikutan tindakan FIFA itu apakah keuntungan yang FAM perolehi dengan mahu memanjangkan kes itu ke Mahkamah Timbang Tara? Bagaimana jika FAM dimalukan sekali lagi?

Melalui penghakiman bertulis menolak rayuan FAM berhubung perkara itu, badan induk bola sepak dunia menyifatkan integriti dokumen rasmi sebagai “suci” dan pemalsuannya ialah kesalahan boleh dihukum.

Oleh itu FIFA  mengarahkan sekretariatnya memaklumkan kepada  pihak berkuasa empat lagi pihak berkuasa jenayah iaitu Brazil, Argentina, Belanda dan Sepanyol.

“Penting untuk memaklumkan pihak berkuasa berkaitan supaya siasatan dan prosiding jenayah sewajarnya dapat dijalankan, ‘’ kata FIFA.

Selain itu FIFA akan melancarkan siasatan rasmi terhadap operasi dalaman FAM untuk mengenal pasti individu bertanggungjawab atas pemalsuan sijil kelahiran dikaitkan dengan tujuh pemain berkenaan.

Siasatan itu juga akan menilai kecukupan dan keberkesanan mekanisme pematuhan serta tadbir urus dalaman FAM, selain menentukan sama ada langkah tatatertib tambahan perlu diambil terhadap pegawai FAM.

“Sebagai fokus awal, siasatan mesti mengkaji peranan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dan dua ejen Fifa berlesen yang dinamakan dalam prosiding ini: Nicolas Puppo dan Frederico Moraes. Pembabitan mereka menimbulkan kebimbangan serius yang memerlukan penelitian menyeluruh,’’ kata FIFA.

Penghakiman bertulis FIFA muncul dua minggu selepas ia menolak rayuan FAM terhadap sekatan ke atas badan bola sepak kebangsaan dan tujuh pemain terbabit, yang mungkin menyaksikan skuad negara digugurkan mata dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 sedang berlangsung.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini FAM berkata, mereka akan memulakan proses untuk membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS).

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusof Mahadi berkata, langkah itu diambil bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan badan-badan berkaitan.

‘’FAM tetap komited memperjuangkan hak semua pemain yang layak mewakili negara, dan akan memastikan setiap tindakan diambil secara profesional, telus serta mengikut saluran undang-undang yang sewajarnya,’’ katanya.

Persoalannya, apakah usaha FAM akan berjaya memandangkan FIFA pastinya mempunyai bukti yang benar-benar kukuh sehingga bersedia untuk membuat laporan jenayah kes pemalsuan dokumen itu di lima buah negara termasuk Malaysia?

Oleh itu FAM perlu memikirkan semasak-masaknya strategi untuk menangani kemelut tersebut. Jangan nanti masalah tidak berkurang, malu pula makin bertambah.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img