SEORANG anggota polis maut selepas motosikal ditungganginya gagal mengelak sebuah lori yang tiba-tiba membuat pusingan U di Jalan Lubuk Pinang, Sanglang di Jitra, Kedah petang semalam.
Dalam kemalangan itu, Konstabel Mohamad Amirul Safwan Shahbani, 23, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jitra.
Mangsa berasal dari Kampung Bintongan, Rembau, Negeri Sembilan dan kejadian berlaku ketika baru pulang bertugas dari Balai Polis Air Hitam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 4.50 petang semalam membabitkan sebuah lori jenis Nissan Vanette dengan sebuah motosikal Yamaha 125ZR.
Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kemalangan berlaku ketika lori yang dipandu lelaki berusia 70 tahun itu berada di tepi jalan tiba-tiba bergerak membuat pusingan U ke kanan.
“Mangsa yang menunggang motosikal dari arah Balai Polis Air Hitam menuju ke Sanglang gagal mengelak lori berkenaan sehingga menyebabkan berlaku perlanggaran.
“Akibat kemalangan itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah luka di kaki kiri, cedera di tangan kiri dan dalaman dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Mohd Radzi berkata, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat.


