Gabungan Kemanusiaan Indonesia anggap penahanan aktivis flotilla perbuatan biadab

GABUNGAN  kemanusiaan Indonesia pada Jumaat mengecam Israel selepas rejim itu menawan puluhan kapal bantuan daripada Global Sumud Flotilla di Laut Mediterranean serta menahan ratusan aktivis.

Global Peace Convoy Indonesia (IGPC) berkata flotila berkenaan, yang belayar untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza dan menghantar bantuan, telah dipintas tentera laut Israel pada lewat Rabu di perairan antarabangsa.

“Tindakan ini adalah perbuatan biadab dan melulu terhadap misi kemanusiaan tanpa kekerasan,” kata IGPC dalam satu kenyataan, lapor Bernama.

Kumpulan itu merupakan gabungan beberapa pertubuhan bantuan Indonesia, menggesa Israel segera membebaskan aktivis yang ditahan tanpa syarat serta menarik balik kapal perang dari kawasan terbabit.

IGPC menegaskan misi itu bersifat aman dan bertujuan membuka koridor kemanusiaan ke Gaza, sambil menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di wilayah itu.

Menurutnya, rampasan kapal serta penahanan aktivis antarabangsa adalah pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan dan maritim.

Mereka turut mendesak kerajaan Indonesia dan negara lain menggandakan tekanan politik serta diplomatik terhadap Israel dan mengambil langkah untuk menamatkan peperangan.

“Perjuangan kemanusiaan tidak boleh dibungkam dengan kekerasan. Masyarakat antarabangsa mesti bertindak menghentikan jenayah perang Israel,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Kementerian Luar Indonesia dalam kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya memantau keadaan seorang warganegara Indonesia yang menyertai flotila berkenaan.

“Pada masa ini, Muhammad Husein dalam perjalanan ke Cyprus. Berdasarkan komunikasi setakat 2 Okt, beliau berada dalam keadaan baik.

“Kedutaan Besar Indonesia di Rom, yang turut meliputi Cyprus, telah menghantar petugas bagi memberikan bantuan sewajarnya,” menurut kementerian itu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img