GEMA Raya Putrajaya 2026@PICC bakal melakar sejarah apabila muncul festival raya terbesar pertama yang diadakan di puncak tertinggi Putrajaya pada Februari tahun depan.
Penganjurnya, Rayme Zainal berkata, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dipilih sebagai lokasi kerana merupakan bangunan ikonik dan pusat berteknologi tinggi yang dirancang untuk acara persidangan selain menawarkan fasiliti bertaraf antarabangsa.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd. berkata, festival itu dijangka memberi limpahan rantaian ekonomi dengan menyediakan lebih 300 usahawan dan mewujudkan hampir 1,000 peluang pekerjaan serta menonjolkan Putrajaya sebagai destinasi perayaan utama negara.
“Menjadi ruang pertemuan budaya, komuniti dan pelancongan, Gema Raya Putrajaya 2026@PICC bukan sekadar bazar tetapi turut mengangkat warisan negara menerusi busana kebaya dan batik Edisi Ramadan – Raya yang menjadi identiti seni tekstil negara.
“Dengan sokongan pelbagai rakan rasmi, sebagai penganjur acara, kami mahu menjadikan festival ini satu pengalaman bermakna dan berimpak untuk masyarakat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) setiap kali menjelang Ramadan” katanya dalam satu kenyataan.
Festival yang akan mula dibuka kepada umum dengan pelbagai aktiviti dan jualan bermula 15 Februari depan hingga ke ambang malam 1 Syawal dianjurkan bersama PULSE Group dan PULSE Event Management (PEM) serta turut menerima sokongan Pulse Grande Hotel Putrajaya sebagai hotel rasmi festival.
Sebelum ini, Raydiates Blue mencatat kejayaan besar menerusi penganjuran Anjung Syawal Putrajaya 2025 yang menarik kehadiran lebih satu juta pengunjung menerusi 330 lot niaga dan merekodkan jualan lebih RM10 juta selama 33 hari.
Rayme menambah, bertemakan “Lebih Tinggi, Lebih Meriah, Lebih Raya”, festival itu akan menjadi antara acara utama untuk menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026) dengan kombinasi kerohanian, seni budaya, gastronomi, hiburan dan keusahawanan dalam suasana puncak bukit yang unik.
Menurutnya, festival itu akan menampilkan lebih 300 usahawan merangkumi fesyen, tekstil, kraftangan, produk artisanal dan vendor gaya hidup dengan tumupuan utama di zon gastronomi iaitu kendalian Grab & Go Cafe dengan kerjasama Anjung E.A.T.S.
Kata beliau, E.A.T.S membawa maksud Experience, Appreciate, Taste & Share yang bakal menghimpunkan 20 usahawan yang menawarkan hidangan berbuka, moreh dan sahur dalam suasana ‘hilltop street food’.
“Turut menyerikan festival adalah program kerohanian seperti tazkirah dan solat terawih, persembahan seni budaya dan seni Islam, demonstrasi masakan, bengkel kraf, sesi ramah mesra selebriti, persembahan artis-artis terkenal serta konsert mini Syawal Showcase.
“Persembahan runway, paparan tekstil dan kolaborasi bersama artisan juga dijangka menjadi tumpuan utama pelancong dalam dan luar negara selain menampilkan inisiatif Infaq Ramadan dan kempen kemanusiaan The Pelita of Hope untuk bantuan kemanusiaan Palestin.
“Turut dirancang sambutan tradisi bersama komuniti dan pengunjung, Malam 7 Likur di mana pelita akan menerangi kawasan bukit sebagai simbol harapan dan perpaduan,” katanya.
Rayme memberitahu, orang ramai juga tidak perlu bimbang berkunjung ke PICC kerana ia menawarkan 1,200 tapak parkir kenderaan secara percuma dengan resit membeli-belah selain surau luas dan selesa yang boleh memuatkan sehingga 300 jemaah pada satu masa bagi memudahkan pengunjung menunaikan solat sepanjang Ramadan.
Kata beliau, untuk maklumat lanjut mengenai festival raya itu, orang ramai boleh hubungi talian +60135086807 / +60123637723 dan IG rasmi @GemaRayaPutrajaya@PICC atau IG @Raydiatesblue.
Sementara itu, PICC yang tersergam megah di atas bukit menawarkan pemandangan tasik yang indah dengan berlatar belakangkan Jambatan Seri Gemilang.
Idea rekaan PICC yang terletak di Presint 5, Putrajaya diilhamkan daripada bentuk ‘Pending Perak’ yang merupakan tali pinggang pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong.
Bangunan PICC yang dibina dari tahun 2001 dan siap pada September 2003 meliputi kawasan seluas 135,000 meter persegi atau kira-kira 1.3 juta kaki persegi.


